Arab Saudi bina stadium 92,000 tempat duduk
Arab Saudi merancang membina Stadium King Salman menjelang 2029 dengan kemudahan tercanggih berkeluasan 660,000 meter persegi itu bakal memiliki 92,000 tempat duduk.
Rancangan itu diumumkan Suruhanjaya Diraja untuk Bandaraya Riyadh (RCRC) dan Kementerian Sukan yang mendedahkan reka bentuk dan rancangan masa depan serta kemudahan sukan yang akan dibina di Riyadh.
Ia akan menjadi antara stadium terbesar di dunia, berfungsi sebagai tempat utama bagi pasukan kebangsaan Arab Saudi dan penganjuran acara serta aktiviti sukan utama.
Tapak itu juga merangkumi pusat komersial dan kawasan rekreasi yang boleh diakses oleh semua kumpulan umur sepanjang hari, sekali gus menjadikannya destinasi menarik untuk pelawat dari dalam dan luar negara.
Stadium utama akan mempunyai kapasiti tempat duduk 92,000, termasuk 150 tempat duduk diraja, 120 kemudahan suite, 300 tempat duduk orang kenamaan dan 2,200 tempat duduk bagi tetamu kenamaan.
Portal berita Saudi Gazette melaporkan stadium itu akan mempunyai sistem penyejukan yang mampan untuk kedua-dua tempat duduk penonton dan padang permainan.
Dalam meningkatkan pengalaman menonton, pelbagai skrin akan mengelilingi bahagian dalam stadium.
Ia juga akan menawarkan pengalaman luar biasa dengan pengunjung akan menikmati taman dalaman dan trek jalan kaki di atas bumbung stadium dengan pemandangan Taman Raja Abdulaziz yang menakjubkan.
Stadium ini terletak di utara Riyadh di Jalan King Salman, bersebelahan dengan Taman King Abdulaziz dan akan mendapat manfaat daripada jaraknya yang berdekatan dengan lokasi bandar utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.
Ia turut bersambung dengan baik ke stesen kereta api Riyadh dan rangkaian jalan raya utama, sekali gus memudahkan akses dari semua bahagian bandar.
Sumber : Berita Harian