GXBank miliki lebih 750,000 pengguna

 


Bank digital pertama Malaysia, GXBank mempunyai lebih 750,000 pengguna yang membuka lebih 800,000 'savings pockets' (saku simpanan) sehingga kini.

Pengerusi GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, bank digital itu juga telah mencecah lebih daripada 13 juta transaksi melalui kad GX dan kod QR yang menandakan sokongan padu terhadap GXBank.

"GXBank bermula dengan kertas kosong, serta sepasukan kecil rakyat Malaysia yang sangat bersemangat waja, menerokai apa yang pada masa itu belum pernah dilalui oleh sesiapa pun. Kami bina bank ini daripada kosong.

"Daripada hanya 100,000 pengguna pertama dalam tempoh dua minggu pertama pelancaran pada November tahun lalu, kami kini sudah mencatatkan lebih daripada 750,000 pengguna yang telah membuka lebih daripada

800,000 'savings pockets' dan jumlah ini semakin meningkat.

"Tambahan juga, inisiatif Impian GIGih yang dilancarkan pada bulan Mac berpandukan rangkuman dan kecelikan kewangan untuk memperkasakan segmen B40 dan memudahkan mobiliti sosial antara generasi. Bersama dengan rakan-rakan perintis kami, MYDIN dan GoBarakah, GXBank kini telah memanfaatkan 1,200 penerima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada majlis perasmian ibu pejabat GXBank dan pelancaran Pusat Kecemerlangan GXBank di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelaburan GXBank sebanyak RM1.5 bilion ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang merangkumi pelancaran inisiatif GX Untuk Semua, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap perbankan digital.

Zaiton berkata, GX Untuk Semua bertujuan memberi tumpuan kepada memupuk bakat teknologi tempatan, membangunkan kecekapan teras dan amalan industri terbaik, serta penyelesaian inovatif.

Katanya, inisiatif ini akan memanfaatkan teknologi terkini untuk menawarkan akses kewangan dan penyelesaian mampan untuk golongan yang tersisih atau sukar mendapatkan perkhidmatan.

"Antara kepakaran dan penyelesaian yang disasarkan oleh hab ini adalah penyelesaian berasaskan AI untuk pengurusan risiko dan penipuan, serta penyelesaian pinjaman peribadi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"GX Untuk Semua juga akan menggalakkan keusahawanan dan menyediakan peluang penyelesaian berasaskan teknologi untuk diterokai bagi keperluan kewangan digital masa depan.

"GX Untuk Semua lebih daripada aspirasi kebangsaan atau hab teknologi. Ia juga melambangkan pelbagai impian kewangan besar dan kecil setiap rakyat Malaysia," katanya.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url