Jay Jay meninggal dunia

 


Penyanyi legenda, Jay Jay, 66, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam tadi.

Berita pemergian Jay Jay atau nama sebenar, Mohd Fauzi Darus disahkan Datuk Hattan selepas dimaklumkan isteri Jay Jay yang dikenali sebagai Zaitoon.

"Saya baru sahaja bercakap dengan isteri arwah dan dia beritahu Jay Jay meninggal kira-kira jam 9 malam tadi.

"Jenazah masih berada di hospital dan sedang diuruskan," katanya.

Hattan menambah maklumat diterima mengesahkan pemergian Allahyarham Jay Jay disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.

Mei lalu, Allahyarham Jay Jay dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Arwah bagaimanapun dilapor mengalami angin ahmar selepas pembedahan dan perlu menjalani rawatan fisioterapi.

Kerjaya seni Allahyarham Jay Jay bermula sebagai vokalis dan pemain bes kumpulan Carefree yang cukup popular dengan lagu Rindu Bayangan.

Bersama Carefree, Allahyarham Jay Jay sempat merakamkan empat album termasuk album kompilasi.

Allahyarham Jay Jay kemudian meneruskan kerjaya seni secara solo dan menghasilkan tujuh album.

Antara lagu popular arwah adalah Kau Yang Tersendiri, Keasingan Dalam Luka, Cukuplah Sekali dan banyak lagi.

Allahyarham Jay Jay pernah berpadu suara dengan penyanyi Dayangku Intan menerusi lagu Kita Insan Biasa dan Peralihan Zaman.

Selain itu, beliau berduet dengan Ning Baizura menerusi lagu Erti Pertemuan.

Populariti Jay Jay sebagai penyanyi solo terus memuncak apabila doinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1988.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url