Lesen media sosial lindungi kanak-kanak bawah 13 tahun


Kerangka kawal selia atau pelesenan yang diumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini diharap dapat menghentikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun daripada membuka akaun media sosial sendiri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia ekoran penjenayah seksual kini berselindung di sebalik akaun palsu untuk mendekati kanak-kanak di bawah umur.

Beliau berpendapat, pihak penyedia platform media sosial tidak terlalu serius dalam menghalang kanak-kanak bawah usia 13 tahun untuk membuka akaun sendiri sehingga mengundang bahaya dan ancaman daripada pelbagai pihak.

“Pihak media sosial hanya meletakkan sebagai garis panduan. Mungkin ada beberapa perkara kita akan tegaskan kepada mereka tentang bagaimana hendak elakkan kanak-kanak daripada mendaftar.

“Jadi dengan pelesenan yang akan berkuat kuasa pada tahun depan, kita harap dapat kekang kanak-kanak bawah usia 13 tahun daripada membuka akaun media sosial.

“Kita tidak mahu penjenayah salah guna platform ini untuk melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Kita mesti meletakkan noktah untuk penjenayah pedofilia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Selain itu, jelas Fahmi, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengawal selia aktiviti anak-anak dan berkongsi hal peribadi secara meluas secara dalam talian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan memulakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh untuk membina atau mewujudkan draf garis panduan sebelum proses pelesenan berlaku.

Katanya, proses pelesenan akan bergerak selari dengan usaha untuk membangunkan garis panduan yang dijangka siap menjelang Disember atau mungkin lebih awal.

“Saya difahamkan pada pertengahan minggu lalu ada mesyuarat dan perbincangan antara MCMC dan pemegang taruh platform media sosial.

“Minit mesyuarat itu nanti akan dipanjangkan kepada saya dan dari situ kita akan lihat dari semasa ke semasa bagi proses pelesenan.

“Kita akan mulakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh bagi membina satu draf garis panduan untuk semua platform media sosial yang akan dilesenkan. Kita akan teliti dan itu yang akan diuruskan terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC dalam kenyataannya dilaporkan, langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula hari ini. 

Sumber : KOSMO! 

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.