Mayat yang ditemui itu Nidza Afham - Ketua Polis Selangor

 


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan satu mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang adalah Nidza Afham Mokhtar.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses selanjutnya.

"Ya. Dipercayai adalah abang penyanyi yang dilaporkan hilang semalam," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan kehilangan Nidza Afham didakwa berkaitan dengan kes samun.

Adiknya, Afrina Hanie Mokhtar berkata, polis mempercayai kehilangan Nidza Afham berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai manakala, kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet milik bekas peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga itu tidak berusik.

Afrina berkata, penemuan dompet dan telefon bimbit Nidza Afham atas Jambatan Sungai Klang juga berada dalam keadaan pelik.

"Pelaku meninggalkan dompet dan telefon bimbit Nidza Afham di tengah jambatan dalam keadaan tersusun.

"Mereka tidak mengambil telefon bimbit, mungkin tak mahu dikesan. Barang milik Nidza Afham ditemui dua lelaki yang juga penarik kenderaan.

"Mereka berhenti kerana menyangka kenderaan yang saya naiki bersama ibu rosak. Ketika barang Nidza Afham ditemui, kami lega kerana menyangka ada harapan untuk menemuinya.

"Namun, malangnya, Nidza Afham gagal dikesan dan kami terus membuat laporan polis," kata Afrina.

Afrina berkata, abangnya tidak pernah berselisih faham dengan sesiapa termasuk keluarga dan teman wanita.

Selain itu, katanya, abangnya juga tidak mempunyai sebarang masalah membabitkan wang.

"Mujur saya tahu kata laluan telefon bimbitnya. Jadi, saya tahu jam berapa abang keluar dan sebagainya.

"Dia juga sudah selesai berjogging sebelum hilang. Ini kerana saya sudah periksa aplikasi di telefon bimbitnya," katanya.

Sehingga kini, Afrina berkata, mereka sekeluarga masih tidak berputus asa mencari abangnya biarpun laporan polis sudah dibuat dan kes sedang dalam siasatan.

"Kami masih terus berikhtiar mencari Nidza Afham dan belum tidur sejak semalam," katanya.

Terdahulu, Nidza Irfan dikatakan keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangan disedari dalam jam 9 malam semalam.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.