HSBC rai ulang tahun ke-140 di Malaysia


HSBC Malaysia meraikan ulang tahun ke-140 tahun di Kuala Lumpur untuk pelanggan, rakan kongsi dan pegawai kanan kerajaan.

Acara yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan pengukuhan semula komitmen bank itu untuk menyokong rakyat dan perniagaan di Malaysia.

Pada 1884, HSBC Malaysia menubuhkan pejabat pertamanya di Pulau Pinang, menandakan permulaan hubungan yang terjalin dengan negara ini, didorong oleh keperluan untuk memudahcara perdagangan dan memenuhi keperluan antarabangsa pelanggan di sini.

Pada 1984, HSBC merupakan bank asing pertama yang diperbadankan di peringkat tempatan di Malaysia, membentuk Hongkong Bank Malaysia Bhd.

Pada 2007, HSBC Bank Malaysia Bhd merupakan bank asing pertama yang diperbadankan di negara ini yang diberikan lesen subsidiari perbankan Islam di Malaysia.

Baru-baru ini, pada 2022, ia membuka ibu pejabat negaranya, Menara IQ, di hab antarabangsa bagi kewangan dan perniagaan di Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, di mana ia terus mengukuhkan rangkaian penawaran merentas perbankan runcit dan korporat.

HSBC mempunyai kira-kira 6,000 kakitangan di Malaysia, termasuk kakitangan di bank dan rangkaian 54 cawangan di seluruh negara, serta pusat perkhidmatan perkongsian global.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq, berkata, pelabur semakin mengalihkan tumpuan mereka kepada pasaran ASEAN, khususnya Malaysia, untuk peluang pelaburan.

Katanya, dengan populasi yang semakin meningkat, persekitaran perniagaan yang berkembang pesat dan hubungan perdagangan global yang teguh, Malaysia bersedia untuk pertumbuhan yang besar.

"Legasi selama 140 tahun HSBC di negara ini menunjukkan dedikasi kami untuk bekerjasama dengan kerajaan dan menyokong pelanggan dalam pasaran dinamik ini.

"Keupayaan unik kami ini membolehkan kami memacu perdagangan rentas sempadan, memupuk industri baru muncul, dan memperkasa perniagaan dan pengguna.

"Memandangkan Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi pengembangan ASEAN HSBC, kami komited untuk menyokong negara dalam usaha untuk menarik pelaburan yang lebih besar merentasi industri utama serta meningkatkan perdagangan antarabangsa dan pengurusan kekayaan," katanya.

Pada 2024, HSBC telah diiktiraf sebagai Bank Antarabangsa Terbaik Malaysia sebagai sebahagian daripada Anugerah Euromoney untuk Kecemerlangan 2024 yang berprestij.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url