Izzuddin - Sze Fei juara Terbuka China, kaut RM622,361

 


Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mencipta kebangkitan sensasi untuk menjuarai badminton Terbuka China 2024.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu bangkit dari kekalahan set pertama dengan memenangi dua set berikutnya untuk mengatasi wakil tuan rumah yang juga pilihan kelima, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21, 21-12, 21-17 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.

Kemenangan itu menyaksikan Izzuddin-Sze Fei menjadi beregu pertama Malaysia yang merangkul gelaran dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Sebelum ini, hanya pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia berjaya muncul juara Super 1000 dalam era Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Seluruh England 2021.

Pencapaian itu juga menyaksikan Izzuddin-Sze Fei menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan adik beradik, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada edisi 1989.

Pada aksi final, Izzuddin-Sze Fei dilihat 'lambat panas' apabila membenarkan lawan mendahului dengan jurang mata 6-0.

Biarpun cuba untuk mengejar tetapi permainan Ji Ying-Xiang Yu lebih tersusun dengan serangan bertali arus ke arah pasangan negara, termasuk pukulan smash kencang untuk mendahului 15-6 sebelum memastikan kemenangan 21-13.

Bagaimanapun, perlawanan tertangguh seketika apabila pasukan perubatan dipanggil bagi memberikan rawatan kepada Xiang Yu yang dilihat bergelut dengan kecederaan di bahagian belakangnya.

Set kedua menyaksikan, Izzuddin-Sze Fei tampil dengan aksi lebih kemas apabila bermula garang dengan mendahului 8-4, sekali gus memberi tekanan kepada China yang bergelut dengan kecederaan belakang dialami Xiang Yu.

Beregu tuan rumah cuba mengejar apabila merapatkan kedudukan 6-11, namun gagal untuk menyekat kebangkitan Malaysia yang terus menjarakkan jurang mata 16-7 sebelum memastikan kemenangan 21-12 bagi dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kemenangan di set kedua membuatkan Izzuddin-Sze Fei lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi apabila memulakan permainan dengan langkah kanan menerusi kedudukan 4-1 yang meletakkan China dalam tekanan.

Pasangan negara terus sukar dicabar apabila berjaya meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan cukup selesa dengan mendahului 20-16 sebelum melengkapkan kemenangan 21-17.

Sebagai rekod, ini adalah gelaran kedua Izzuddin-Sze Fei musim ini selepas muncul juara Terbuka Jepun, bulan lalu.

Selaku juara, Izzuddin-Sze Fei membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM622,361) manakala Ji Ting-Xiang Yu meraih AS$70,000 (RM294,360).


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url