Pemimpin utama GISBH ditahan

 


Empat anak perempuan pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad adalah antara 19 individu berkaitan pengurusan tertinggi Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang ditahan Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata empat wanita tersebut berusia antara 29 hingga 38 tahun.

"Mereka adalah antara 19 yang ditahan ketika kami melakukan empat serbuan di sebuah unit kediaman di sepanjang Jalan Imbi (Kuala Lumpur) jam 5.40 pagi tadi," katanya.

Seorang wanita anak Abuya adalah isteri CEO GISBH

Difahamkan bahawa seorang daripada empat wanita tersebut adalah isteri kepada ketua pegawai eksekutif GISBH yang turut ditahan.

Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari, adalah sebuah kumpulan ajaran yang diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994.

Terdapat dakwaan bahawa kumpulan itu telah menarik lebih 60,000 orang pada kemuncak popularitinya, dengan sokongan daripada golongan Melayu berpendapatan rendah hingga sederhana serta pelajar kolej dan universiti dari seluruh negara.

Menurut Amnesty International pada 2 September 1994, Ashaari ditangkap di Thailand di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Beliau dikenakan tahanan rumah selama 10 tahun di Rawang dan Labuan.

Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010 akibat jangkitan paru-paru.

Selepas Al-Arqam diharamkan pada 1994 dan beberapa pemimpin kanannya ditahan mengikut ISA, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url