Pneumonia penyebab utama kematian
PNEUMONIA menjadi punca kematian nombor satu negara pada tahun 2023, mengatasi penyakit jantung iskemik dalam dua dekad, kecuali pada 2021 berikutan wabak COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata statistik ini amat membimbangkan, dan semua rakyat Malaysia harus berusaha melindungi diri mereka daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.
Menurut Dr Zulkifli, pneumonia lazimnya dicetuskan oleh jangkitan pernafasan (contohnya, influenza, penyakit pneumokokal dan sebagainya).
Katanya, individu yang mendapat jangkitan itu lazimnya, akan berasa tidak sihat dan mengalami gejala yang sering kita lihat.
Apabila jangkitan menjadi semakin teruk, mereka akan mengalami kesesakan nafas, menghasilkan bunyi berdehit ketika bernafas, mengalami kesakitan dada dan berasa keliru. Ia lazim berlaku pada warga emas.
Semua ini boleh menjadi tanda-tanda penyakit pneumonia.
Dr Zulkifli menjelaskan, pneumonia ialah keadaan apabila satu atau kedua-dua paru-paru meradang dan cecair terkumpul di dalam alveoli (kantung udara kecil).
Keadaan ini katanya, berbahaya kerana ia menghalang pertukaran oksigen dan boleh menyebabkan komplikasi yang sangat teruk, termasuk kegagalan sistem pernafasan, sepsis, abses paru-paru dan juga kematian.
"Pneumonia terjadi secara perlahan-lahan tetapi boleh menjadi kecemasan perubatan secara
mengejut. Individu itu mungkin perlu dikejarkan ke hospital, menjalani imbasan sinar-X dada dan jika
penyakit disahkan, dia seterusnya akan diberi rawatan perubatan untuk pneumonia.
"Rawatan yang lebih intensif juga mungkin diberikan bergantung pada ketenatan penyakitnya. Individu itu juga mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk pulih daripada penyakit ini," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pneumonia Sedunia 2024.
Dr Zulkifli menekankan, pneumonia ialah penyakit yang mengancam nyawa. Walau bagaimanapun, vaksinasi boleh melindungi secara efektif individu yang berisiko tinggi seperti:
• Individu yang berusia 60 tahun ke atas.
• Pesakit yang menghidap penyakit kronik.
• Perokok.
• Peminum alkohol tegar.
• Individu yang memiliki sistem imun yang lemah.
• Individu yang mengambil ubat-ubatan perencat sistem imun.
Mencegah pneumonia bakteria
Menurut D Zulkifli lagi, pneumonia pneumokokal adalah jenis pneumonia bakteria yang paling kerap dijangkiti. Jangkitan ini disebabkan oleh Streptococcus pneumoniae, iaitu sejenis bakteria (juga dikenali sebagai pneumokokus) yang lazimnya merebak melalui rembesan pernafasan, seperti air liur dan hingus.
Katanya, individu boleh dijangkiti bakteria Streptococcus pneumoniae sama ada daripada kalangan komuniti, seperti rakan atau orang ramai, yang dikenali sebagai pneumonia perolehan komuniti (CAP).
Selain itu ia boleh dijangkiti daripada persekitaran hospital — dikenali sebagai pneumonia perolehan hospital (HAP), yang lazimnya berlaku dalam tempoh 48 jam selepas seseorang dimasukkan ke hospital.
"Pneumonia pneumokokal boleh dicegah dengan mendapatkan vaksinasi pneumokokal dan terdapat dua jenis vaksin pneumokokal yang tersedia di Malaysia.
"Vaksin pneumokokal disarankan untuk semua dewasa yang berumur 60 tahun ke atas, individu yang berumur antara 18 dengan 59 tahun dengan masalah kesihatan kronik, individu dengan sistem imun yang lemah, peminum alkohol tegar dan perokok," katanya.
Mencegah pneumonia virus
Dr Zulkifli berkata, pneumonia virus adalah lebih lazim berbanding pneumonia bakteria, dan ia boleh terjadi sama ada sebagai jangkitan primer atau sebagai komplikasi sekunder selepas seseorang mendapat penyakit pernafasan yang lain.
Pneumonia virus boleh disebabkan oleh virus influenza, virus sinsitium pernafasan (RSV) atau virus COVID-19.
Justeru, katanya adalah penting untuk melindungi diri dengan mendapatkan vaksin terhadap virus yang boleh membawa maut ini.
"Vaksinasi influenza tahunan adalah disyorkan untuk semua orang bagi memastikan mereka mendapat perlindungan daripada virus ini serta mengurangkan risiko mendapat jangkitan teruk dan penyebaran komuniti.
"Bagi vaksinasi RSV, satu-satunya vaksin yang tersedia di Malaysia ialah vaksin RSV adjuvant dan ia disarankan kepada orang dewasa berumur 60 tahun ke atas," katanya.
Menurunya, bagi COVID-19, walaupun vaksin percuma tidak lagi disediakan, warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah boleh terus menerima rawatan antivirus (Paxlovid) untuk mencegah jangkitan dan menghalangnya daripada berkembang menjadi pneumonia.
Pneumonia dan kanak-kanak
Dr Zulkifli berkata, di Malaysia, pneumonia juga adalah ancaman kesihatan utama terhadap kanak-kanak.
Pada tahun 2021, penyakit ini menjadi punca utama kematian ketiga dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah.
Sementara, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024 yang terkini, pneumonia juga adalah punca utama kematian kedua dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke bawah.
Bagi kanak-kanak, pendekatan 'mencegah lebih baik daripada mengubati' memainkan peranan yang besar, dan ini menekankan kepentingan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.[p[
p
\]
';lkjhgfcf
";
-----------------------------
Beberapa vaksin untuk bayi (bawah dua tahun) disediakan untuk melawan jangkitan yang berkaitan dengan pneumonia, antaranya:
• Vaksinasi pneumokokal (PCV telah diberikan kepada bayi di negara ini sejak tahun 2020)
• Vaksinasi pertusis (diberikan sebagai sebahagian daripada vaksin enam serangkai)
• Vaksinasi Haemophilus influenzae jenis B (Hib)
Dr Zulkifli berkata, untuk melindungi anak-anak, ibu bapa boleh mempertimbangkan vaksin tambahan yang disyorkan, iaitu: Influenza, Varicella zoster (cacar air) dan Meningokokal.
Orang ramai turut diingatkan untuk melindungi diri mereka dan orang tersayang daripada pneumonia dengan sentiasa mengemas kini vaksin yang disyorkan.
Seterusnya, berbincang dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin pencegahan pneumonia yang sesuai.