Gaji permulaan median bagi pemegang ijazah semakin merosot dengan hanya 1.7 kali lebih tinggi berbanding pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 berbanding 2.7 kali pada 1997, demikian menurut laporan terkini PNB Research Institute (PNBRI).
Laporan 'Trend Gaji Permulaan di Malaysia: Pandangan daripada Pekerjaan Sektor Swasta (1997 hingga 2022)' yang dikeluarkan PNBRI itu memperlihatkan pertumbuhan gaji permulaan bagi pemegang kelayakan tertiari menunjukkan trend menurun selepas pelarasan inflasi sepanjang tempoh 25 tahun ini.
Menurut laporan berkenaan, gaji permulaan median pemegang ijazah sarjana mencatatkan kemerosotan paling ketara, merosot 28 peratus atau -1.3 peratus setahun, manakala pemegang ijazah sarjana muda mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus atau -0.4 peratus setahun.
"Ini bermakna, graduan berkelulusan sarjana yang mula bekerja dalam sektor swasta pada 2022 memperoleh gaji hampir satu pertiga kurang daripada rakan sejawat mereka pada tahun 1997," kata PNBRI dalam laporan itu.
Kertas perbincangan laporan itu disediakan oleh Farhana Roslan, Anis Farhana Amran dan Ahmad Farhan Roslan daripada PNBRI.
PNBRI dalam laporan itu turut menyatakan bahawa walaupun gaji minimum berperanan menyediakan paras asas sara hidup, ia mungkin tidak cukup berkesan dalam mengurangkan jurang pendapatan berdasarkan tahap pendidikan, terutamanya apabila gaji graduan berkelayakan tinggi tidak menunjukkan peningkatan seiring.
Laporan yang dibuat berdasarkan data pekerja tanpa pengalaman daripada Kaji Selidik Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) itu turut mengesahkan bahawa pemegang kelayakan lebih tinggi lazimnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan pemegang ijazah sarjana secara konsisten mencatatkan pendapatan tertinggi sepanjang tempoh dikaji.
Bagaimanapun, laporan itu menunjukkan pertumbuhan gaji bagi kelayakan yang lebih tinggi didapati semakin perlahan.
Katanya, pemegang diploma menunjukkan peningkatan gaji tahunan tertinggi, diikuti oleh graduan dalam semua peringkat kelayakan di bawah peraturan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
"Secara purata, kadar pertumbuhan tahunan gaji permulaan median bagi pemegang ijazah sarjana adalah yang terendah, iaitu kurang daripada satu peratus setahun sebelum mengambil kira inflasi.
"Sebaliknya, pemegang ijazah sarjana muda mencatat pertumbuhan sebanyak 1.8 peratus setahun, manakala pemegang diploma mencatat 2.1 peratus setahun," katanya.
PNBRI berkata, apabila kesan inflasi diambil kira, gaji permulaan bagi graduan pendidikan tinggi didapati menyusut, membuktikan kemerosotan pulangan kepada pendidikan di Malaysia – sekurang-kurangnya dalam sektor swasta.
Justeru, katanya, gaji kehidupan wajar, sebagai contoh, mewakili alat dasar yang layak untuk dipertimbangkan di tengah-tengah taraf hidup yang tidak mencukupi meskipun gaji minimum.
Dasar Gaji Progresif yang dirancang juga dilihat sebagai satu lagi dasar bermakna yang akan menangani gaji yang tidak berubah, tambahnya.
Sumber : Berita Harian
0 Comment:
Catat Ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.