KPM perjelas pengenalan insiatif 'co-teaching'
Timbalan Menterin Pendidikan, Wong Kah Woh, ketika menggulung perbahasan itu berkata, inisiatif 'co-teaching' atau pengajaran berpasukan ditakrifkan sebagai kaedah pedagogi dua guru bekerjasama secara sinergi dalam satu kelas.
Kaedah itu, katanya, penting bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek Alam dan Manusia Pembelajaran Bersepadu bagi murid Tahap 1, mulai kurikulum persekolahan 2027.
Beliau berkata, subjek berkenaan akan merangkumi elemen Sains, Seni, Muzik, Kesihatan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Teknologi dan Digital yang diajar selama enam waktu seminggu.
Ahli Parlimen Taiping itu berkata, kolaborasi guru itu merangkumi proses merancang, melaksana dan mentaksir PdP secara bersama, terhad hanya bagi subjek bersepadu serta tidak membabitkan mata pelajaran lain.
"Bagi Tahap 2, iaitu murid di Tahun Tiga dan Empat, ada dua subjek berlainan bagi pembelajaran bersepadu iaitu Eksplorasi Sains dan Teknologi Pembelajaran Bersepadu, merangkumi elemen Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, TVET serta Teknologi dan Digital
"Satu lagi (subjek bersepadu bagi murid di Tahap 2) ialah Eksplorasi Seni dan Dunia Pembelajaran Bersepadu, merangkumi elemen Geografi, Sejarah, Seni dan Muzik.
"Mengenai projek rintis, KPM ada melaksanakannya, membabitkan 130 guru di 65 sekolah rendah pelbagai kategori, sebelum ini," katanya.
Kah Woh berkata, tumpuan 'co teaching' adalah bagi subjek Alam dan Manusia Pembelajaran Bersepadu kerana ia menggabungkan lebih daripada satu disiplin ilmu serta elemen pendidikan.
Beliau juga memberi jaminan pelaksanaan amalan pedagogi itu akan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira semua aspek pelaksanaan secara berperingkat dan tahap kesediaan sekolah serta guru.
"Dalam isu ini, panitia subjek dan guru besar (GB) ada autonomi menentukan pendekatan 'co-teaching' di sekolah dan ini juga antara usaha memperkasa GB kerana mereka lebih mengetahui aspek pentadbiran sekolah masing-masing.
"Misalnya, sekolah satu sesi yang mempunyai guru mencukupi untuk pelaksanaan 'co-teaching' bagi pembelajaran bersepadu, tetapi pada suatu masa lain mungkin ada guru bercuti sakit atau bersalin.
"GB ketika situasi ini ada autonomi untuk menentukan sama ada hendak menggantikan guru yang tiada dengan guru lain atau hanya menggunakan seorang guru sahaja dalam PdP bersepadu.
"Maka, jelas pelaksanaan dan pendekatan diambil untuk 'co-teaching' bersifat fleksibel, selain KPM akan memastikan kita memilki tenaga pengajar mencukupi serta tiada beban tambahan kepada guru," katanya.


