Inkues Zara Qairina: Saksi mengaku bawa arwah ke bilik lain supaya boleh buat 'spot check'
Seorang saksi kanak-kanak mengaku membawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir ke bilik lain bagi membolehkan pemeriksaan ke atas almari dan barangan milik arwah dilakukan pada malam 15 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-29 inkues kematian Zara Qairina itu memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, langkah itu berikutan beberapa insiden kehilangan barang di asrama, termasuk wang, pin bendera dan pakaian yang dikaitkan dengan arwah.
Menceritakan semula keterangan saksi, pasukan peguam mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri, berkata saksi menyatakan bahawa dia membawa Allahyarham Zara Qairina untuk berjumpa kawannya di bilik lain supaya saksi dan beberapa rakan sebilik boleh memeriksa barangan arwah.
"Pada malam 15 Julai, sekitar jam 10 malam, saksi membawa Zara ke ke sebuah bilik. Saksi menyatakan dia membawa Zara untuk berjumpa seorang kawan arwah di bilik lain kerana saksi dan beberapa ahli bilik ingin membuat 'spot check' ke atas almari dan barang Zara.
"Pada mulanya, mereka pergi ke dorm lain tetapi Zara cuma bercerita sekejap dengan pelajar junior itu sebelum bergerak balik ke dorm. Saksi terus meminta pelajar junior itu membawa Zara bercerita dengan lebih lama supaya mereka boleh membuat 'spot check' tanpa pengetahuan Zara," katanya selepas prosiding hari ini.
Katanya, saksi memberitahu mahkamah bahawa ketika ke bilik lain itu, saksi mendengar suara pelajar senior memanggil Zara 'Oi sini kau Zara' untuk masuk ke bilik mereka yang terletak bersebelahan bilik asrama arwah.
Saksi katanya menyatakan bahawa arwah dipanggil untuk 'bercerita' mengenai kes kehilangan barang dan saksi mengaku nampak arwah Zara Qairina masuk ke bilik terbabit, manakala saksi bergerak balik ke bilik mereka.
"Selepas itu, saksi menyatakan dia memberitahu pelajar senior dan mengajak beberapa pelajar lain untuk melakukan 'spot check' ke atas almari dan beg Zara, tapi mereka tidak menjumpai apa-apa di almari Zara.
"Saksi menyatakan apabila memeriksa beg Zara, dia menjumpai satu pin bendera kepunyaan pelajar senior dan satu lagi pin bendera kepunyaan pelajar junior di poket seluar Zara. Saksi kemudian menyerahkan sendiri pin bendera itu kepada pelajar senior.
"Selepas itu, saksi menyatakan dia mengambil bajunya untuk diseterika di aras bawah blok asrama dan ketika melalui sebuah bilik, dia melihat Zara sedang duduk bersila dengan dikelilingi beberapa pelajar senior," katanya.
Saksi berkenaan yang tinggal sebilik demgan arwah Zara Qairina kemudian meneruskan urusannya sebelum naik semula ke bilik dan mendapati arwah menangis sambil menjerit 'aku nda curi ba, sial' dan dilihat dalam keadaan tertekan.
Shahlan berkata, saksi memberitahu mahkamah tiada sesiapa berani menenangkan Zara ketika itu, termasuk dia sendiri kerana saksi tidak berani menenangkan Zara apabila dia dalam keadaan marah.
"Tidak lama kemudian, saksi menyatakan dia nampak Zara keluar ke tandas di aras yang sama dan dia menunggu Zara untuk masuk semula ke bilik tetapi Zara terlalu lama di tandas.
"Saksi kemudian keluar bilik untuk melihat Zara di tandas dan dia pada mulanya ingin mengintai Zara kerana risau keadaan arwah, tetapi saksi menyatakan dia nampak muka Zara melalui celahan pintu bilik tandas dan tidak menegurnya," katanya.
Saksi berkenaan katanya menyatakan bahawa dia bimbang keadaan arwah yang tidak keluar dari tandas sebelum memaklumkannya kepada pelajar senior, namun pelajar senior tidak ambil peduli.
Sesudah itu, katanya saksi memberitahu mahkamah, dia kemudian masuk tidur pada kira-kira jam 12 tengah malam dan hanya sedar pada kira-kira jam 4.30 pagi keesokannya dan dimaklumkan bahawa arwah jatuh dari bangunan sebelum dibawa ke hospital.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat kecederaan otak traumatik teruk.


