Graduan TVET MARA catat kebolehpasaran tinggi, atasi sasaran nasional
Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatat kadar kebolehpasaran tinggi mencecah antara 96 hingga 97.9 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2025, sekali gus mengatasi sasaran nasional.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata pencapaian konsisten itu membuktikan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan industri yang dilaksanakan MARA.
Beliau berkata, kejayaan itu didorong pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan TVET yang menekankan latihan industri, pensijilan profesional serta kerjasama strategik bersama syarikat utama.
"Berdasarkan sistem kajian pengesanan graduan seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kebolehpasaran graduan TVET MARA pada 2023 mencatat 96.5 peratus, manakala pada 2024 (97.9 peratus) dan 2025 (96 peratus), melebihi sasaran nasional yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, hari ini.
Rubiah berkata, antara inisiatif dilaksanakan MARA ialah Program Pembangunan bagi Menjamin Kebolehpasaran Graduan, 'bootcamp' industri dan perantisan yang menjamin pekerjaan, serta penyelarasan kurikulum melalui kolaborasi industri termasuk PETRONAS, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Beliau berkata, KKDW turut memperkukuhkan pembangunan TVET luar bandar, termasuk komuniti Orang Asli, melalui pendekatan latihan jangka pendek dan program sijil kemahiran bertaraf nasional berdasarkan keperluan industri setempat.
"Penerapan kursus sesuai diketengahkan dalam program pembangunan modal insan seperti gubahan bunga, anyaman, solekan wajah, asas pastri, pembaikan motosikal, pendawaian elektrik dan sebagainya, membabitkan 1,547 peserta dari 2023 hingga 2025," katanya.
Rubiah berkata, tumpuan turut diberikan kepada golongan B40, pelajar tahfiz dan pekerja gig e-hailing serta p-hailing bagi memastikan inklusiviti dalam akses TVET luar bandar.
"Program kemahiran terbabit adalah berasaskan keperluan industri dan ekonomi setempat supaya graduan mudah mendapat pekerjaan, memperoleh gaji premium setara dengan kemahiran, serta meningkatkan ekonomi belia setempat," katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan pengurusan dan pembangunan berjumlah RM12,401,611,100 yang diperuntukkan kepada KKDW dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh 27 Ahli Parlimen.


