Belasungkawa Jalil Hamid
Langit seni tanah air terus diselubungi mendung apabila seorang lagi permata berharga pergi menghadap Ilahi.
Selepas pemergian primadona filem Melayu klasik, Datuk Seri Maria Menado, industri kehilangan seniman serba boleh, Jalil Hamid yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah hari tadi di kediamannya di Shah Alam, Selangor.
Dilahirkan sebagai Abdul Jalil Abdul Hamid pada 25 April 1957 di Kampung Kuala Masai, Masai, Johor Bahru, Allahyarham membesar di FELDA Cahaya Baru, Masai, Johor, yang banyak membentuk jati dirinya sebelum melangkah ke dunia seni.
Allahyarham Jalil memulakan kerjaya pada 1976 di Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), sebelum minat mendalam terhadap seni membawanya mengikuti kursus seni pentas di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1979.
Sejak itu, bakatnya terus berkembang apabila aktif dalam pelbagai kegiatan seni di sekitar Johor sebelum melanjutkan perjalanan seni di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA), Shah Alam pada 1984.
Allahyarham Jalil dikenali sebagai figura serba boleh dalam bidang lakonan dan nyanyian. Antara lagu popularnya termasuk Makan, Mata, Raya dan Ayam, yang melonjakkan namanya menerusi album sulung berjudul Jalil Hamid pada 1993.
Dalam bidang lakonan, beliau membintangi pelbagai filem terkenal seperti Wanita Bertudung Hitam, Baginda, Lelaki Harapan Dunia, 6 Jilake, Laknat, Zombi Kampung Pisang dan Bisik Pada Langit.
Beliau juga aktif dalam drama televisyen antaranya Spanar Jaya, Patah Sayap Bertongkat Paruh, Rindu Yang Terlarang, Bujang Haji, Ayahanda dan Ahmad Rosli Arwahkan Ketua Kampung.
Kehebatan lakonannya diiktiraf apabila meraih Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-13 menerusi filem Baginda.
Selain itu, beliau turut memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) 2016 menerusi Calon Syurga, selain tersenarai dalam Top 5 Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31.
Tidak sekadar di pentas dan layar, Allahyarham turut mengabadikan perjalanan hidupnya menerusi autobiografi setebal 170 muka surat berjudul Jalil Hamid – Seniman Anak Felda, yang merakam kisah kehidupannya sejak kecil hingga bergelar anak seni.
Sumber : Berita Harian

