Pusat beli-belah 118 Mall bakal dibuka Ogos 2026
Pusat beli-belah 118 Mall bakal membuka pintunya pada Ogos ini, lokasi menarik yang menggabungkan warisan sejarah ibu kota dengan gaya hidup serba baharu yang moden.
Terletak di presint bersejarah Merdeka 118, sebuah destinasi global di pusat bandar Kuala Lumpur, 118 Mall kini berada di peringkat akhir transformasi.
Hanya beberapa langkah dari Jalan Petaling serta berdekatan dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang ikonik, pusat beli-belah ini bersedia untuk menjadi pelengkap kepada warisan budaya Kuala Lumpur seiring dengan kemasukan jenama-jenama dan rakan niaga awalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Izwan Hasli Ibrahim, berkata Merdeka 118 sedang berkembang sebagai sebuah presint bertaraf global dan antara destinasi baharu paling menarik di Kuala Lumpur, yang menghimpunkan pelbagai tarikan serta pengalaman dalam satu lokasi yang ikonik.
"Tumpuan utamanya ialah 118 Mall, yang memainkan peranan penting dalam melengkapkan pengalaman keseluruhan presint ini dengan menghubungkan elemen peruncitan, hospitaliti, budaya, komuniti dan mercu tanda yang menjadikannya sebuah destinasi dinamik dan lancar, melambangkan identiti unik Malaysia.
"Dengan kadar komitmen ruang peruncitan yang telah mencecah lebih 70 peratus, kami teruja untuk menyumbang kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menawarkan pengalaman bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Ciri utama yang menarik di 118 Mall ialah Malaysian Artisan District, sebuah ruang seluas 80,000 kaki persegi yang meraikan keindahan seni dan kreativiti tempatan.
Ia bukan sekadar ruang aras runcit semata-mata, tetapi galeri gaya hidup yang menghimpunkan cita rasa, seni kraf tangan dan hasil kreatif tempatan.
Tumpuan utamanya ialah Makanizm Food Hall di Aras 3, sebuah destinasi menjamu selera seluas 40,000 kaki persegi yang menyajikan kepelbagaian dan keunikan sajian Malaysia.
118 Mall menawarkan pengalaman bertaraf dunia dengan menghimpunkan gabungan jenama antarabangsa, jenama gaya hidup premium serta nama-nama tempatan yang digemari, bermula dengan jenama kafe dan restoran seperti Kenny Hills Café, ZUS Coffee, Eight Ounce Coffee, Oriental Kopi, Serai Premium, Dolly DimSum dan Cili Kampung.
Pusat beli-belah ini turut menampilkan konsep 'flagship' jenama fesyen dan gaya hidup seperti Skechers dan Decathlon, di samping Habib Jewels, jenama barang kemas terkemuka Malaysia yang terkenal dengan seni ketukangan halus.
Konsep gaya hidup turut diperkukuhkan lagi dengan kehadiran jenama antarabangsa terkenal seperti Coach, Hackett London, Cole Haan serta jenama sukan seperti Asics dan LiNing.
Bagi memenuhi keperluan harian, 118 Mall turut menempatkan jenama premium seperti Village Grocer, HappiKiddo dan Babyshop untuk seisi keluarga.
SOGO118 merupakan evolusi terbaharu jenama ikonik SOGO yang menggabungkan konsep kontemporari yang lebih dinamik bagi memenuhi cita rasa pengunjung dan penggemar beli-belah masa kini.
Gedung konsep pelbagai jenama ini turut membawakan bar Matcha yang baharu diperkenalkan di pasaran, di samping jenama kecantikan dari Korea, Jepun dan China.
Terletak di aras 4, The Atmosphere sebuah piazza acara seluas 20,000 kaki persegi yang direka khas untuk menganjurkan pelbagai acara meriah.
Ruang ini dilengkapi dengan tiga skrin LED berdefinisi tinggi bersaiz besar yang mengelilingi sebahagian bawah kubah serta ruang piazza, mampu memaparkan seni digital imersif dan kandungan secara langsung, sekali gus mencipta latar belakang dinamik untuk pelbagai acara, daripada pertunjukan fesyen hingga festival komuniti.
Sumber : Berita Harian

