Gadis ditikam 61 kali: Cemburu dipercayai punca pembunuhan
Cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang pelajar kolej berusia 19 tahun, yang mayatnya ditemui dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya mengesyaki mangsa ditikam sehingga mati oleh kenalan lelakinya yang juga berusia 19 tahun, selepas berlaku salah faham.
"Polis percaya cemburu adalah motif pembunuhan mangsa, siasatan awal menunjukkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang membawa kepada kematiannya. Dia dipercayai ditikam ketika berada di dalam kereta suspek.
"Dengan penangkapan suspek utama ini, polis percaya kes pembunuhan ini sudah selesai," katanya kepada New Straits Times.
Mohd Yusoff berkata, seorang lagi remaja yang ditahan dalam kes berkenaan adalah rakan mangsa.
Terdahulu, dua remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh tengah malam kelmarin, direman tujuh hari manakala, dua lagi suspek masing-masing wanita berusia 60 tahun dan lelaki berusia 66 tahun direman tiga hari.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Semalam media melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Ketereh, tengah malam kelmarin, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.
Sumber : Berita Harian

