PROTON perkenal Proton S70 Lite, Prime, anggaran harga bawah RM60,000

 


PROTON Holdings Bhd (PROTON) memperkenalkan dua varian baharu S70 iaitu Lite dan Prime dengan anggaran harga di bawah RM60,000.

Kedua-dua varian berkenaan menggunakan enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi transmisi boleh ubah berterusan (CVT), sekali gus menawarkan pengalaman pemanduan lebih lancar dan mudah untuk kegunaan harian.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata tempahan bagi kedua-dua varian berkenaan dibuka mulai 7 September di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara.

Bagaimanapun, harga akhir bagi kedua-dua varian itu akan diumumkan pada pelancaran rasmi.

"Pengenalan varian baharu itu memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mengutamakan keselesaan, praktikaliti dan kemudahan pemanduan harian pada harga lebih mampu milik.

"Kedua-dua varian turut mengekalkan ciri utama PROTON S70 termasuk ruang kabin yang luas, ruang bahu penumpang belakang, panel instrumen dengan kemasan lembut serta pelbagai ciri keselamatan dan kemudahan," katanya dalam kenyataan

Antara ciri yang ditawarkan dua varian baharu berkenaan ialah fungsi Auto Up/Down dan Anti Trap, brek parkir elektrik dengan Auto Brake Hold, penghidup enjin dari jauh, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta lima port USB.

Ia turut dilengkapi sistem radar sisi belakang, kamera undur dan peringatan tempat duduk belakang, dengan kelengkapan berbeza mengikut varian.

Katanya, dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, sensor parkir hadapan dan belakang serta rangkaian sistem bantuan pemanduan melalui sistem radar sisi belakang.

"Sistem itu merangkumi pengesanan titik buta, bantuan pertukaran lorong, amaran lintasan trafik belakang, amaran pembukaan pintu dan amaran pelanggaran belakang," katanya.

Abdul Rashid berkata, S70 Lite dan Prime menawarkan ruang sedan terunggul dalam kelasnya menerusi dimensi keseluruhan, jarak roda dan badan yang lebar bagi menyediakan ruang luas untuk penumpang hadapan dan belakang.

"Badan yang lebih lebar turut menyediakan ruang bahu lebih luas untuk penumpang belakang, manakala lantai belakang yang hampir rata memanfaatkan ruang penumpang belakang dengan lebih baik.

"Keadaan itu membolehkan tiga penumpang duduk bersebelahan dengan lebih selesa, selain menjadikan S70 Lite dan Prime pilihan sesuai untuk keluarga serta perjalanan lebih jauh," katanya.

Katanya, pengenalan varian baharu itu memperluaskan tawaran S70 kepada pelanggan yang mencari sedan mampu milik tetapi masih mahukan ciri-ciri utama dalam pemanduan harian.

"PROTON S70 sentiasa menawarkan rakyat Malaysia pengalaman pemanduan yang lebih tinggi tarafnya menerusi ruang, keselesaan dan ciri-ciri yang mereka hargai dalam pemanduan harian," katanya.

Menurutnya, rangkaian S70 yang diperluaskan itu turut meneruskan momentum kukuh model berkenaan dalam pasaran, yang mencatatkan purata jualan bulanan melebihi 2,500 unit pada 2026.

"Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan PROTON S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 akan menerima ganjaran eksklusif tempahan awal, tertakluk kepada terma dan syarat," katanya.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url