Najib dibenar jalani tahanan rumah bersama keluarga di Langgak Duta
Datuk Seri Najib Razak akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, di sini, menerusi perintah tahanan rumah yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengesahkan perkara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya sudah menerima perintah berkenaan, termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.
"Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah Yang di-Pertuan Agong dan perintah itu juga mempunyai lampiran berkenaan syarat serta terma pelaksanaan perintah itu, termasuk mekanismenya," katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Shafee berkata, Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah berkenaan selepas dimaklumkan Jabatan Penjara supaya tidak berbuat demikian bagi mengelakkan spekulasi orang ramai dan media.
"Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah itu kerana beliau sudah dimaklumkan oleh pihak penjara perkara itu tidak boleh didedahkan.
"Jika kandungannya didedahkan, orang ramai dan media akan mula membuat pelbagai spekulasi dan membincangkan perkara itu," katanya.
Ketika ditanya mengenai lokasi tahanan rumah berkenaan, Shafee mengesahkan ia ialah kediaman Najib di Langgak Duta.
"Yang itu sudah disahkan di Langgak Duta. Beliau boleh tinggal bersama keluarganya," katanya.
Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.
Sebelum ini, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas sabitan dalam kes SRC International dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sumber : Berita Harian

