Top Ad 728x90

Masjid India Muslim di Ipoh


Salah satu yang menarik perhatian apabila bercerita tentang bangunan lama di Ipoh ialah mengenai kewujudan sebuah masjid yang terletak betul-betul di tengah bandar raya ini iaitu Masjid India Muslim.

Sama ada percaya atau tidak, usia masjid yang terletak berhampiran dengan Padang Bandaran Ipoh ini sudah mencecah 100 tahun.

Ia dibina pada tahun 1908 dan diasaskan oleh Sheikh Adam yang merupakan keturunan Tamil.

Buat pengetahuan umum, masjid berkenaan merupakan sebuah masjid tua yang dibangunkan oleh pengikut Mazhab Hanafi dan terletak di Jalan Clayton atau kini lebih dikenali sebagai Jalan S.P. Seenivasagam.

Pada mulanya, tujuan masjid ini dibina adalah untuk kegunaan komuniti India Muslim di Ipoh tetapi setelah 100 tahun berlalu, fungsi serta peranannya dalam membangunkan dakwah Islam di negeri ini khususnya Ipoh memang tidak dapat dinafikan.

Apa yang membanggakan, masjid ini terus tersergam indah dan secara tidak langsung menjadi lambang kekukuhan syiar Islam di bandar raya ini.

Penulis percaya, semua itu adalah hasil usaha keras, titik peluh dan keikhlasan komuniti India Muslim yang terlibat dalam membina dan mengimarahkan Masjid India Muslim selama ini.

Pembinaan dan konsep seni bina masjid ini lebih cenderung kepada Chitya India atau gaya Moghul yang hampir sama bentuknya dengan Diwan-i-Khas di Delhi.

Bagaimanapun, apa yang penting ialah mengenai pengisian atau fungsi masjid tersebut yang masih mampu bertahan setelah 100 tahun berlalu.

Antara aktiviti kebajikan utama masjid ini ialah membela saudara seagama yang hidup dalam kesusahan.

Sebab itu, di sebelah masjid berwarna putih dan hijau ini, terdapat sebuah bangunan asrama yang menempatkan insan-insan kurang bernasib baik.

Asrama berkenaan digunakan oleh mereka sebagai tempat untuk berteduh selain beribadah selepas mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid.

Salah seorang individu penting di sebalik kejayaan Masjid India Muslim ini bertahan lama ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjidnya iaitu Datuk Thasleem Mohd. Ibrahim Al-Haj.

Beliau yang merupakan tokoh korporat yang berjaya begitu tegas dalam memainkan peranan untuk membela golongan fakir miskin di seluruh negara.

''Kadang-kala kita cuma bagi bantuan kepada mereka yang layak di masjid ini tetapi ia hanyalah simbolik di hadapan masyarakat umum.

''Sebenarnya kita turut membantu ramai mereka yang susah tetapi perkara itu tidak perlulah dihebahkan kepada umum," katanya baru-baru ini.

Sempena dengan sambutan 100 tahun masjid itu, pihaknya berhasrat untuk menjemput Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menziarah masjid berkenaan sebagai tanda penghormatan.

Katanya, selaku Ketua Agama Islam di Perak, Sultan Azlan adalah individu paling layak untuk memberi penghormatan kepada kejayaan masjid ini.

Ditanya mengenai keunikan masjid berkenaan, Thasleem berkata, kebanyakan jemaah berasa amat kagum dengan kekukuhan binaan masjid tersebut.

''Setelah 100 tahun berlalu, terfikir juga bagaimana masjid ini boleh begitu kukuh berdiri. Bagaimanapun selepas diperiksa oleh pakar, kami dapati kayu di bahagian bumbungnya sudah teruk dimakan anai-anai.

''Kami amat terkejut melihat keajaiban itu. Malah pakar kejuruteraan yang kami bawa dari Kuala Lumpur juga hanya mampu menggelengkan kepada dan hanya berkata ini semua kerja Allah.

''Kami sangat bersyukur kerana mengikut logik, bumbung masjid ini sebenarnya boleh runtuh pada bila-bila masa," katanya.

Setelah meneyedari perkara tersebut, pihak pengurusan masjid telah membuat keputusan untuk memperbaiki masjid berkenaan melalui dua fasa.

Katanya, fasa yang pertama iaitu menukar kayu-kayu bumbung telah siap dengan menelan belanja lebih RM200,000.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90