PM dianugerah Beret Hijau komando
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dianugerahkan Beret Hijau Kehormat Rejimen Gerak Khas (RGK) di Kem Iskandar di Mersing, Johor.
Pada majlis itu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan dipakaikan Beret Hijau, Lanyard Biru, Sangkol dan Lambang Sayap Ketua Penerjunan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.
Terdahulu, Perdana Menteri memeriksa perbarisan kawalan kehormatan oleh 99 anggota Grup Gerak Khas (GGK) yang diketuai Mejar Alfarizan Marzuki.
Beliau kemudian menyaksikan demonstrasi kumpulan pembawa beret menggunakan helikopter.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; dan Panglima 21 GGK, Datuk Awie Suboh.
Seramai 250 anggota komando GGK pelbagai pangkat turut menyaksikan penganugerahan bersejarah itu.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya menyebut, Beret Hijau Kehormat adalah lambang keagungan, keperwiraan serta mutu keberanian yang tinggi nilainya bagi melambangkan pengorbanan serta taraf profesionalisme tinggi sebagai seorang wira.
Hanya mereka yang benar-benar layak berhak dianugerahkan beret tersebut sebagai salah seorang ahli rejimen GGK iaitu sebuah pasukan yang diperakui elit dalam angkatan tentera dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Penganugerahan beret kepada Abdullah adalah mengambil kira ketokohan, kewibawaan dan kecemerlangan beliau sebagai Perdana Menteri serta sumbangannya dalam usaha meningkatkan pembangunan dan pemodenan GGK dan amnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Abdullah adalah penerima anugerah beret hijau ke-32 dan merupakan penerima kedua di kalangan Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerimanya pada 2001.
Perdana Menteri selepas itu menunaikan solat Jumaat di Masjid Kem Iskandar.
Selepas itu, beliau dan isteri menghadiri jamuan tengah hari bersama pegawai GGK, melawat pameran statik, menyaksikan demonstrasi amfibia dan menemui warga GGK.
- UTUSAN