Ahad, April 19, 2009

Syed Sirajuddin Areeb waris takhta Perlis


Putera sulung Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail, semalam secara rasmi dimasyhurkan dengan nama Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, yang membawa maksud pemimpin yang mengikuti petunjuk agama secara mendalam dan bijaksana.

Nama berkenaan diumumkan selepas ditulis sendiri baginda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada watikah pemasyhuran sempena Istiadat Khas Pemasyhuran Nama, Aqiqah dan Cukur Rambut, yang berlangsung di Balairung Seri Istana Diraja Arau.

Ia diumumkan pada hari ketujuh kelahiran putera berkenaan, semalam di hadapan lebih 200 rakyat jelata termasuk kerabat diraja yang hadir ke istiadat berkenaan.

Terdahulu, putera sulung yang juga pewaris kepada Raja Muda Perlis itu dipersembahkan kepada umum. Ini disusuli upacara cukur rambut yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, sebelum diikuti Raja Muda Perlis.

Sebaik upacara berkenaan selesai, timbangan rambut putera berkenaan iaitu 2.13 gram kemudian dipersembahkan kepada baginda Raja Perlis sebelum diumumkan kepada hadirin untuk dinilai berdasarkan harga berat perak yang bersamaan dengan RM3.68.

Raja Perlis dan Raja Muda Perlis kemudian mencemar duli menyapukan minyak wangi pada kepala putera yang baru dicukur, yang menjadi antara tujuh perkara sunat dilakukan terhadap bayi baru lahir.

Ini disusuli upacara 'belah mulut' yang disempurnakan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khaleel.

Difahamkan, tujuh perkara sunat terbabit meliputi Tahniq atau belah mulut, melakukan sembelihan (Aqiqah), cukur rambut, menyedekahkan perak mengikut timbangan rambut bayi dicukur, menyapu kepala bayi dengan minyak wangi, memberi nama dan khatan.

Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail diputerakan dengan berat 3.4 kilogram jam 10.13 pagi pada 12 April lalu di Wad Diraja Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Selain putera sulung berkenaan, Raja Muda Perlis melalui perkongsian hidup dengan Raja Puan Muda Perlis turut mempunyai dua puteri iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, 13, dan Sharifah Farah Adriana, 8.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts