Top Ad 728x90

Facebook cetus fenomena sedunia, berjaya bentuk ‘wilayah’ sendiri

Seandainya saya mempunyai ‘buah hati’ yang tidak dikenali di alam maya, tiada siapa yang tahu. Malah, isteri juga tidak dapat menghidu kecurangan suami kerana ‘buah hati’ hanya wujud di awangan dan tidak pernah menyapa apatah lagi bercumbu di alam nyata.

Jika isteri pula mempunyai jejaka lain yang mungkin lebih daripada seorang menerusi Facebook, suami juga tidak dapat menduga kerana kehidupan harian di rumah berjalan seperti biasa. Hidup sentiasa kaya dengan rahsia dan misteri maya.

Hari ini fenomena media baru dan teman maya semakin menakjubkan. Sesiapa saja boleh berteman dengan seseorang hanya melalui hujung jari. Malah, untuk mengutuk atau mengucapkan selamat pagi kepada Presiden Amerika Syarikat atau Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, kita boleh mendekati mereka menerusi Facebook.

Kita juga boleh membeli kereta terpakai menerusi Facebook. Ada juga yang menggunakan Facebook sebagai medan untuk menyebarkan maklumat kegiatan teater, baca sajak, ceramah politik, malah jemputan kahwin. Ada yang menggunakan media maya untuk meluahkan perasaan rindu dan menyatakan perasaan hati kepada insan yang tidak pernah dikenali sebelumnya.

Seorang kawan wanita yang 20 tahun terpisah mengirimkan mesej menyatakan dia terlantar di sebuah hospital di selatan tanah air kerana barah payu dara. ‘Kita mungkin tidak akan bertemu lagi...’ tuturnya, sayu!

Seorang personaliti seni pula mengirimkan kad jemputan perkahwinan anaknya pada musim cuti sekolah. ‘Kau mesti datang, sudah berkurun kita tak jumpa. Aku ada lima menantu,’ mesejnya mengingatkan betapa masa dan ruang semakin menjarakkan perhubungan insani pada alaf baru ini.

Facebook menjalin semula hubungan dengan rakan yang sudah lama terpisah. Ia juga menyambung semula zaman retro yang sudah menjarak. Ia mendekati semula suasana di sekolah atau jejak perjalanan sepanjang kembara di luar negara. Ia memberi nafas kepada masa lalu yang sudah jauh kita cicirkan.
Ada teman mengirimkan mesej mengenai populariti dirinya. Dia mempunyai 5,000 teman maya yang kononnya semakin akrab dan mendekati. ‘Kami boleh berbincang apa saja termasuk isu politik atau pasaran kewangan global pada bila-bila masa dan di mana saja’.

Dia yakin Facebook sudah membentuk ‘negara’ baru kerana mempunyai ‘rakyat’ yang pelbagai ideologi, warna kulit, etnik dan agama berbeza. Sehingga kini pengguna Facebook di Malaysia hampir tujuh juta orang.

Menerusi statistik yang dikemaskini setiap hari oleh Facebakers, seramai 3,472,200 orang atau 52 peratus adalah pengguna lelaki dan 48 peratus perempuan. Pengguna paling aktif pula antara umur 18 hingga 24 tahun merangkumi 37 peratus warga Facebook di Malaysia. Ia diikuti usia 25 hingga 34 tahun meliputi hampir 31 peratus pengguna.

Data ini memperlihatkan Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai, sekali gus menjadi negara Asia Tenggara ketiga paling ramai selepas Indonesia dan Filipina. Sepanjang 2009, Facebook menjadi jaringan sosial terbesar di dunia, dengan memiliki 250 juta pengguna aktif dan pertambahan pengguna 50 juta dalam tempoh tiga bulan.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam laman kapling Online menyatakan Facebook sentiasa memberikan kehidupan kepada penggunanya. ‘Laman ini bererti untuk semua orang kerana ia realiti kehidupan masa kini dan memberi manfaat kepada dunia,’ catatnya.

Ada sumber menyatakan sehingga Mei 2010, jumlah pengguna Facebook sudah meningkat 300 juta, iaitu mengatasi kombinasi jumlah penduduk Perancis, Britain dan Jerman.

Facebook didirikan pada Februari 2004 di Palo Alto, California kini menjadi buruan pedagang siber. Pertengahan Julai 2009, syarikat Russia, Digital Sky Technologies menawarkan pembelian syarikat dengan AS$6.5 bilion.

Kini Facebook sudah menjadi fenomena sejagat. Ia semakin banyak didekati. Ia juga semakin banyak dicemburui oleh saingan maya yang lain. Ketika dunia sedang merayakan teknologi maklumat dan media baru, Facebook berjaya membentuk wilayahnya sendiri.

Facebook bukan sekadar meluahkan perasaan rindu dan syahdu, juga memungkinkan bagaimana pendapat dunia boleh dicorakkan menerusi hujung jari semata-mata. Inilah citra masa depan yang tentunya jauh berbeza dengan apa yang sudah kita jejaki sebelum ini.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90