Hanya 93.2% rakyat Malaysia tahu membaca

Kira-kira 93.2 peratus rakyat di negara ini tahu membaca jika dibandingkan dengan negara maju lain di dunia seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman iaitu sebanyak 99 peratus.

Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2007/2008.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong berkata, berdasarkan kepada tabiat membaca rakyat negara ini pada masa sekarang, agak sukar untuk Malaysia menyaingi negara-negara tersebut.

Katanya, Malaysia terpaksa mengambil tempoh yang lama sebelum dapat bersaing terutamanya dari segi tahap pembacaan dan kejayaan yang dicapai oleh negara seperti Jepun.

Ini kerana, jelasnya, berdasarkan kajian yang dibuat, rakyat negara ini secara purata, hanya membaca dua buah buku dalam setahun.

"Kalau hendak diikutkan, secara puratanya, golongan dewasa akan membaca sekitar 250 sehingga 300 perkataan seminit iaitu kira-kira 15,000 sehingga 18,000 sejam, 360,000 sehingga 432,000 sehari atau 144,540,000 perkataan dalam tempoh setahun!

"Pembacaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa banyak perkataan yang boleh kita pelajari untuk meningkatkan tahap pembacaan kita agar setanding dengan negara maju lain di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pesta Buku Antarabangsa, Read Malaysia 2010 di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Country Heights Holdings Bhd., Mark Rozario dan selebriti terkenal tanah air, Aznil Nawawi yang juga Duta Program Read Malaysia 2010.

Sebanyak 500 buah gerai pameran dengan 200 buah syarikat buku tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian pada pesta buku kali ini.

Antara syarikat buku tersebut adalah MPH Publishing, Sasbadi, Hamlyn, Pelican, Marshal Cavendish, Granmedia, Al-Hidayah, e-media dan sebagainya.

Ia bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 13 Jun ini dengan pengunjung yang datang sepanjang pesta tersebut berlangsung pula dianggarkan mencapai 400,000 orang.

Akhbar Kosmo!, Nanyang Siang Pau dan China Press merupakan media rasmi, manakala radio Era FM, Sinar FM, Mix FM dan My FM pula bertindak sebagai radio rasmi pesta buku antarabangsa kali ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url