Isu Blog - UMNO Selangor dan perceraian Azrinaz
Isu UMNO Selangor yang dikatakan gagal menggunakan peluang daripada pelbagai isu yang dihadapi oleh kerajaan Selangor mendapat perhatian ramai penulis minggu ini manakala kisah perceraian bekas wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim dengan Sultan Brunei turut diberikan perhatian.
Blog Ruang Bicara Faisal (ruangbicarafaisal.blogspot.com) memetik satu e-mel yang dihantar kepada blog itu yang antara lain berkata, UMNO di Selangor kini terlalu lesu sehinggakan mereka di peringkat akar umbi sudah mula bosan dan hilang semangat.
Kata beliau, kumpulan di bawah kini kurang faham apakah strategi sebenar yang ingin dilakukan oleh UMNO Selangor terutama dalam usaha untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
“Agaknya nak tengok pakatan di Selangor bankrap baru nak bertindak. Hello abang-abang di dalam perhubungan UMNO, kalau macam inilah cara nak bertindak bertambah payahlah kalau pakatan di Selangor pulih daripada kecedaraan. Lingkup UMNO di Selangor,” tulis e-mel tersebut yang disiarkan oleh blog berkenaan.
Hamidzun Khairuddin dalam Warisan 2057 (warisan2057.blogspot.com) yang memetik satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima berkata, UMNO Selangor sepatutnya ada skuad berani mati yang boleh menangkis isu daripada pihak pembangkang memandangkan banyak isu yang tidak tertangkis, terutama isu agama.
“Manakala isu yang besar seperti pasir yang sepatutnya boleh jadi bom atom bila dibantu oleh Ahli Parlimen Kapar, (ia) hanya jadi kentut mak nyah. Bolehkah (pada) PRU-13 (nanti), BN menang tanpa perlu serang pembangkang dan jawab isu.
“Tanah, pasir, hutan, air dan hasil bumi ini isu mengurus masa depan anak-cucu kita, isu cukup emosional. Khalid (Menteri Besar Selangor) pun dah kelam-kabut tetapi UMNO Selangor macam mengadap orang mati,” kata SMS tersebut.
Justeru, penulis berkata, sudah masanya pemimpin UMNO baik di peringkat perhubungan negeri mahupun Pusat mendengar rintihan akar-umbi ini dan mereka perlulah berubah dan bukannya perubahan kosmetik, jika mahu mememangi pilihan raya umum akan datang.
Blog Gerakan Anti-PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula berkata, Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Satim Diman dikhabarkan akan melepaskan jawatannya selepas “diserang” oleh penulis-penulis blog berhubung kelesuan UMNO negeri itu menentang kerajaan pembangkang.
Kata penulis ini, memang UMNO Selangor masih lesu, pemalas dan tiada langsung pergerakan untuk melawan kerajaan pembangkang di negeri itu dan ini disebabkan oleh kegagalan para pemimpin mereka sendiri.
“Percayalah, kami akan terjah kesemua pemimpin UMNO yang pemalas, tak boleh pakai dan tak menguntungkan perjuangan kita dalam mempertahankan Islam dan hak Melayu daripada terus dilacur oleh puak pakatan,” katanya.
Isu perceraian Azrinaz pula disentuh oleh Mohd Soberi Shafii dalam Yang Ku Dengar dan Yang Ku Lihat (newkk.blogspot.com) dengan berkata, itulah putaran dunia yang tidak ada kekal dan perceraian bukan hanya berlaku kepada rakyat biasa dan artis, ia juga berlaku kepada pemimpin dan sultan.
Apa yang menjadi tanda tanya, kata penulis ini, ialah tentang penarikan balik semua bintang kebesaran yang dianugerahkan oleh baginda Sultan Hassanal Bolkiah kepada Azrinaz.
“Apakah tahun ini, tahun penarikan bintang kebesaran dan gelaran kerana terdahulu daripada ini berlaku di negeri Kelantan dan Johor. Itulah putaran dunia tidak ada yang kekal seperti janji Tuhan kepada umatnya...,” katanya.
Blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) pula berkata, bagi golongan miskin kekayaan adalah segala-galanya tetapi bagi golongan bangsawan, kebahagiaan pula adalah segala-galanya.
“Moral ceritanya perceraian berlaku hari-hari dari golongan bangsawan sehingga ke bawah golongan marhaen. Apa nasib zuriat yang akan datang?" katanya.
Merbok Times (merboktimes.blogspot.com) pula memetik My Blog Hub (www.mybloghub.my) mengenai perceraian pasangan diraja itu.
“Perceraian itu diumumkan oleh stesen radio dan televisyen rasmi Brunei petang semalam (16 Jun 2010). Tidak ada sebarang maklumat lanjut diberikan akan mengapa Sultan Brunei bertindak menceraikan Azrinaz namun kisah perpisahan pasangan berkenaan sudah lama tersebar di negara kecil berkenaan.
“Azrinaz merupakan isteri baginda yang ketiga. Kekayaan Sultan Brunei ditafsir sekitar AS$20 bilion,” katanya.