Bunga raya bukan hanya lambang Persekutuan


Di Malaysia disebut ‘bunga raya’, di Indonesia dipanggil ‘kembang sepatu’ dan di Filipina dikenali sebagai ‘gumamela’. Walau apapun panggilan dan nama diberikan, ternyata ia pokok bunga pilihan ramai. Bunga ternyata memberi pendapatan lumayan kepada sesetengah negara.

Bagaimana di Malaysia? Hanya bunga tertentu ditanam secara meluas di kawasan tanah tinggi. Sebenarnya, tidak ada seorang pun yang tidak kenal bunga dan suka dengannya.

Akhir-akhir ini status dan kepentingan bunga raya semakin terpinggir. Pada hari memperingati kekasih, bunga mawar dan bukan bunga raya menjadi pilihan.
Ramai generasi muda tidak mengetahui sejarah dan kepentingan bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian diarah mencadangkan bunga sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.

Pada akhir 1958, Kementerian Pertanian mencadangkan tujuh jenis bunga iaitu bunga kenanga, bunga melor, bunga teratai, bunga cempaka, bunga tanjung, bunga mawar dan bunga raya.
Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selepas mengadakan perbincangan mengumumkan bunga raya sebagai bunga kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu pada 28 Julai 1960.

Bunga raya dipilih sebagai bunga kebangsaan kerana warna merah melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian dalam menempuh cabaran.
Lima kelopak pada bunga raya dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi satu elemen perpaduan negara serta membentuk masyarakat adil dan saksama.

Bunga raya tentunya melambangkan Persekutuan Malaysia dan sebagai bunga kebangsaan ia dinobatkan lagi dengan penggunaannya sebagai perhiasan di bangunan Parlimen, wang syiling dan ringgit Malaysia, simbol Filem Negara dan menjadi hiasan pada kain rentang bagi majlis rasmi kerajaan.

Jabatan Warisan Negara menyedari akan perkara itu dan atas cadangannya, kerajaan akhirnya mengangkat bunga raya sebagai Warisan Kebangsaan pada 7 Julai 2007.

Ia tentunya satu langkah memartabatkan bunga raya sebagai bunga kebangsaan yang sepatutnya dijaga dan dihargai semua lapisan masyarakat.

Bunga raya adalah sejenis tumbuhan berbunga yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan dikenali sebagai Hibiscus rosa-sinensis rex iaitu hibiscus China.

Ia juga dikenali mawar China, bunga sepatu atau kembang sepatu dari keluarga Malvaceac.

Ia adalah pokok renek yang berasal dari barat Asia. Ia ditanam secara meluas sebagai tanaman hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Ia sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun.

Pelbagai jenis dengan warna bunga yang pelbagai, dari putih pada kuning bata dan merah jambu tetapi yang menjadi pilihan negara kita berwarna merah. Bunganya besar tetapi tidak berbau.

Bunga raya menjadi penting kepada masyarakat dulu bukan kerana warnanya yang merah tetapi ia juga digunakan dalam perubatan tradisional. Bunga raya mengandungi hibiscetin. Batang dan daunnya mengandungi kalsium oksalat, lemak dan protein.

Bunga itu dikatakan berguna untuk menyejukkan anggota badan yang panas, mengubat batuk dan demam. Lumatkan bunga itu di dalam air dan ia boleh disapu pada badan dan kepala.

Bunga raya juga dikatakan mampu mengubat penyakit kencing bernanah.
Rebus enam atau tujuh kuntum bunga bersama tiga atau empat gelas air. Air rebusan itu ditapis dan selepas diembunkan bolehlah minum.

Bunga raya juga boleh dijadikan sirap, sesuai dengan warnanya yang merah.
Spesies hibiscus bunga raya ialah hibiscus sabdariffa iaitu Rosella yang dijadikan minuman lazat lagi berkhasiat.

Bagaimanapun di sesetengah tempat di India, bunga raya menjadi bahan pengilat kasut. Mungkin daripada kegunaannya untuk mengilat kasut, di Indonesia ia dikenali Kembang Sepatu.

Cecair dari bunga raya dikatakan sesuai untuk kasut warna tertentu.

Daun bunga raya juga digunakan untuk mencegah uban. Ambil antara 10 dan 15 helai daun bunga raya. Cuci dan ramas sehingga keluar cecair lendir.
Bersih kulit kepala dan rambut dengan lendir itu. Selepas 10 minit dan kering, baru dibasuh. Lakukan dua kali seminggu.

Tahun ini genap 50 tahun bunga raya diangkat sebagai bunga kebangsaan. Mari kita sama-sama menyokong Jabatan Warisan Negara serta agensi lain di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan uar-uarkan bunga itu.

Kita juga perlu mendidik dan mendekatkan generasi muda pada bunga itu. Institusi pendidikan sama ada sekolah, maktab perguruan, universiti dan pejabat kerajaan wajar menanam bunga berkenaan di halaman atau kawasannya.

Usaha untuk menaik dan memartabatkan semula bunga raya sebagai bunga kebangsaan sangat penting memandangkan masyarakat masa kini ramai yang tidak peduli dan mengetahui kedudukan serta status bunga raya sebagai bunga kebangsaan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url