Sabtu, Jun 19, 2010

Terengganu juara bola sepak SUKMA 2010


Penyandang juara, Terengganu menjuarai acara bola sepak buat kali ketiga berturut-turut di temasya Sukan Malaysia (Sukma) menerusi jaringan tunggal penyerangnya Rosli Muda menewaskan Selangor 1-0 pada perlawanan akhir Sukma XIII Melaka 2010 di Stadium Hang Tuah, Melaka semalam.

Kemenangan buat kali ketiga meraih emas selepas muncul juara pada temasya 2006 dan 2008 memastikan kilauan emas yang ke-47 buat mengukuhkan kedudukan Terengganu yang kian menghampiri gelaran juara keseluruhan Sukma yang akan menutup tirai malam ini.

Lebih manis kemenangan itu turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin turut menyampaikan kalungan pingat kepada pemenang.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pula Kedah meraih pingat itu apabila menewaskan Wilayah Persekutuan 2-0 dalam aksi yang berlangsung pada sebelah pagi.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Sejurus pengadil Mohd. Yusof Karim meniup wisel penamat, seluruh pemain Terengganu berpelukan sesama sendiri meraikan kejayaan memenangi pingat emas ketiga berturut-turut dalam acara bola sepak Sukma.

Kekalahan buat Selangor pula meneruskan badi igauan buruk untuk mengukir pingat emas selepas 12 tahun kempunan menggenggamnya apabila kali terakhir memenanginya pada 1998 di tempat sendiri.

Gol kemenangan Terengganu hadir pada minit ke-23 apabila Rosli yang dijaga oleh benteng pertahanan Selangor bijak melepaskan rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Merah Kuning, Mohd. Fairul Azwan.

Aksi bermula dengan kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati dengan bola sering kali berlegar di tengah padang tanpa ada aksi mencemaskan sepanjang 10 minit babak berlangsung.

Pada minit ke-13 Hassan Basri meledakkan sepakan kencang namun penjaga gol Merah Kuning, Mohd. Fairul Azwan Shahrullai tangkas menangkap kemas.

Empat minit selepas itu, giliran Selangor mencemaskan benteng Terengganu apabila M. Anbalagan yang mendapat hantaran jauh membuat larian ke sebelah kiri sambil dibayangi pertahanan lawan namun dia sempat melepaskan rembatan tetapi diselamatkan oleh penjaga gol, Md. Sharmiza Yusoff.

Pada babak kedua Selangor banyak menguasai babak saingan apabila pada minit ke-70 Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham hampa apbila percubaannya diselamatkan penjaga gol lawan.

Peluang hadir lagi tiga minit selepas itu, namun ketua pasukan Merah Kuning, Mohd. Fitri Shazwan lewat melakukan sepakan walaupun berdepan dengan Md. Sharmiza.

Usaha Selangor hingga ke minit-minit terakhir untuk mencari gol penyamaan tidak menjadi kenyataan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts