Top Ad 728x90

CBBC jadi pilihan murah raih keuntungan

Sijil boleh panggil bull/bear (callable bull/bear certification - CBBC) adalah pilihan yang lebih murah bagi pelabur meraih keuntungan daripada prestasi saham-saham mewah yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan saham-saham lain di luar negara.

CBBC adalah instrumen kewangan yang menjejaki prestasi instrumen pendasar tanpa memerlukan pelabur membayar harga penuh yang diperlukan bagi memiliki instrumen pendasar.

CBBC adalah hibrid antara waran opsyen belian dengan pembiayaan margin dan sudahpun berada dalam pasaran Eropah dan Hong Kong, kata Lim Jong Hau, Pengarah Derivatif Ekuiti CIMB Investment Bank.

CIMB akan melancarkan CBBC pada 15 Julai manakala penyenaraiannya pada 16 Julai, tertakluk kepada kelulusan daripada Bursa Malaysia, katanya, sambil menambah bahawa ia boleh didapati bagi empat saham.

Beliau, bagaimanapun, enggan menyatakan saham-saham berkenaan.

Kata beliau, siri jelajah CIMB di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mendapat maklum balas dan penyertaan positif dan dengan demikian ia menjangkakan kadar penerimaan yang baik bagi produk itu daripada pelabur-pelabur Malaysia.

Berbanding pembiayaan margin saham, CBBC melibatkan kos transaksi yang lebih rendah dan ia diniagakan di bursa, katanya pada satu sesi taklimat hari ini.

"Ia tidak melibatkan panggilan margin, jualan terpaksa, had harga, isu pemilikan saham dan tanggungan peribadi berbanding pembiayaan margin saham," jelas beliau.

CBBC diterbitkan dalam bentuk sama ada sijil Bull atau sijil Bear dengan tarikh tamat tetap, dan membolehkan pelabur mengambil pendirian bull atau bear terhadap instrumen pendasar.

Tempoh CBBC adalah dari tiga bulan hingga lima tahun.

Jika harga instrumen pendasar mencapai harga panggilan pada bila-bila masa sebelum tarikh tamat tempoh, penerbit akan memanggil CBBC dan dagangan akan digantung.

Keadaan begini dikenali sebagai Mandatory Call Event (MCE) dengan harga ditetapkan oleh penerbit.

Menyentuh tentang risiko yang ada, beliau berkata, walaupun harga CBBC cenderung bergerak seiringan dengan harga instrumen pendasar, namun dalam beberapa situasi ia mungkin tidak begitu.

Harga CBBC terjejas bukan sahaja oleh harga instrumen pendasarnya, malah juga kos pembiayaan, masa sebelum tamat tempoh serta penawaran dan permintaannya sendiri.

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90