Jumaat, Julai 02, 2010

Judi musnah budaya hidup

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Islam sesuai dengan namanya yang antara lain bermaksud selamat, sejahtera, aman dan patuh telah meletakkan panduan kepada umatnya dalam melayari kehidupan di muka bumi ini.

Antara yang dilarang keras oleh Islam adalah judi. Ini ditegaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan. (al-Maidah: 90)

Malah, masyarakat yang sempurna akalnya dan bertamadun pasti akan menolak perbuatan berjudi. Sebabnya, ia membawa banyak kerosakan dan keburukan berbanding kebaikan.

Itu adalah antara faktor Islam mengharamkannya. Allah sudah maklum bahawa manusia ini tidak akan mampu mengawal nafsu dan kewarasan apabila terlibat dengan judi.

Dalam fiqh kaedah ini disebut sadd zara'ie (mencegah keburukan sebelum ia berlaku)

Atas sebab itu, masyarakat perlu menolak sebarang bentuk perjudian waima apa pun namanya. Termasuklah dalam sukan iaitu judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung.

Judi itu jelas diharamkan oleh Islam. Justeru, tiada kompromi dalam hal yang qatie (pasti) ini.

Allah berfirman yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya... (al-Baqarah: 219)

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2010, Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, judi itu diterima secara universal sebagai perbuatan yang buruk.

"Justeru tidak timbul soal memberi lesen sebagai menjustifikasi kegiatan judi dan juga soal nak memberi hak kepada orang bukan Islam.

"Lebih bagus kalau tidak berjudi. Sebabnya, masyarakat bukan Islam pun tidak suka berjudi," katanya dalam pertemuan dengan Mega, di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mahmood Zuhdi berkata, biar apa pun alasan, Malaysia yang diisytiharkan sebagai negara Islam tidak wajar mengeluarkan lesen judi baru.

Biarpun, tujuan sebenar adalah untuk mengawal kegiatan judi tidak berlesen, perbuatan itu tetap haram.

"Perkara ini sebenarnya bukan mudah. Tujuan asalnya adalah supaya duit judi bola sepak itu tidak lari ke negara lain.

"Sebabnya, kalau kerajaan tidak benarkan, judi tetap berlaku dan duit itu mungkin akan pergi ke China atau Hong Kong.

"Tetapi judi boleh memusnahkan budaya hidup dan masyarakat.

"Islam mengharamkan judi bukan semata-mata kerana soal aku menang kau kalah, tetapi budaya pembaziran yang ada di belakangnya," jelas Timbalan Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Alhamdulillah, kata Mahmood Zuhdi, kerajaan telah membatalkan cadangan memberi lesen pertaruhan bola sepak.

Pada masa yang sama, kata beliau, kerajaan perlu mengawal kegiatan perjudian yang dilesenkan supaya akhirnya ia dapat dihapuskan sama sekali.

Dalam Islam, katanya, memang ada perkara atau hukum yang boleh diliberalisasikan.

Bagaimanapun, dalam bab judi, pengharamannya disebutkan dengan jelas dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.

Sebab itu, tegas beliau, negara tidak boleh liberalisasikan judi walaupun atas dasar untuk menjaga keuntungan.

"Duit daripada kegiatan judi yang sedia ada hendaklah dimasukkan ke dalam Baitulmal untuk pembersihan. Kemudiannya dipulangkan kepada masyarakat kerana wang itu untuk masyarakat.

"Tetapi kita tidak boleh cari duit melalui judi (melalui pemberian lesen baru)," tegas beliau.

Mahmood Zuhdi menambah, orang Islam perlu yakin bahawa jika mematuhi perintah Allah, rezeki itu akan didatangkan daripada pelbagai cara yang tidak disangka.

Ini janji Allah sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: ...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu. (at-Talaq: 2 dan 3)

Membenarkan judi kata Mahmood Zuhdi, adalah bercanggah dengan konsep dakwah yang dilaksanakan dalam negara.

Judi adalah sesuatu penyebab banyak nilai yang tidak baik hingga masyarakat kelak berasa lali (immune) melakukannya.

"Berapa lama kita sudah berjuang mengharamkan rokok tetapi masih tidak berjaya menghapuskannya secara total kerana perokok sudah lali," jelasnya.

Apa pun alasan atau hujah, yakinlah kepada Allah yang menjanjikan kemenangan kepada orang yang bertakwa.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (al-A'raaf: 96)

- UTUSAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts