Kemelut harga minyak tiada akhirnya

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
(WARTAWAN UTUSAN)

KETIKA harga minyak mentah mula mencapai paras AS$70 setong, tiada siapa yang menjangkakan harganya akan mencecah paras lebih AS$130 setong, apatah lagi untuk meramalkannya melonjak sehingga mencapai AS$150 hingga AS$200 setong.

Tetapi, itulah hakikatnya. Persoalannya kenapa harga meningkat.

Terdapat seribu satu macam pandangan yang dilontarkan. Kelemahan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) turut dikatakan punca kepada komoditi emas hitam itu melonjak kerana ia kini menjadi satu bentuk pelaburan yang menguntungkan.

Tidak kurang juga pandangan yang menyatakan kenaikan minyak mentah berpunca daripada spekulasi keterlaluan di pasaran sedangkan tidak terdapat masalah permintaan dan penawaran komoditi berkenaan.

Tambahan pula minyak mentah pernah mencecah AS$100 pada awal 2008 hanya kerana seorang pembeli mahu menjadi orang pertama membeli komoditi pada harga itu.

Sungguhpun begitu, biar apa pun alasan yang diberikan peningkatan harga minyak melepasi paras AS$140 setong dilihat akan menimbulkan masalah baru yang besar kepada negara-negara dunia.

Penasihat Ekonomi AmInvestment Bank Group, Mustafa Mohd. Nor berkata, peningkatan berterusan harga minyak akan memberikan tekanan yang hebat kepada dunia dan bersetuju bahawa pelbagai punca yang mengakibatkan kenaikan termasuk kelemahan dolar AS.

''Dolar AS dijadikan kayu ukur kepada peningkatan harga disebabkan oleh perdagangan minyak sekarang terlalu bergantung kepada nilai mata wang tersebut.

''Nilai dolar yang lemah menggalakkan peningkatan harga kerana ia menjadi lebih murah terutama ketika masalah bekalan menjadi persoalan.

''Selain itu isu-isu kecil seperti mogok yang dilancarkan oleh syarikat pembekal minyak seperti di Scotland dan kesukaran pengeluaran minyak di Nigeria turut meninggalkan kesan kepada harga komoditi itu,'' katanya.

Firma penyelidikan Kenanga Research sebelum ini menyatakan rakyat Malaysia akan berdepan dengan masalah harga minyak akan dinaikkan kerana kerajaan tidak akan dapat menanggung subsidi yang kini dilaporkan telah mencapai RM53 bilion apabila harga minyak dunia berada di paras AS$130 setong.

''Kami percaya kerajaan akan terpaksa berbuat demikian (menaikkan harga runcit minyak) sekiranya harga minyak mentah dunia kekal berada di atas paras AS$140 setong,'' katanya lagi.

Menurut Penganalisis Inter-Pacific Research Sdn. Bhd., Koay Yi Chuan, sekiranya harga minyak mencecah AS$200 masalah inflasi yang teruk akan berlaku di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

''Sekiranya inflasi berlaku sudah semestinya harga barangan juga turut melambung, secara tidak langsung ia akan menimbulkan pelbagai masalah sampingan lain seperti krisis makanan dan sebagainya.

''Inflasi dan krisis ekonomi lain akan memberikan tekanan hebat kepada negara-negara sedang membangun dan miskin. Mereka mungkin tidak dapat bertahan dan akan terus di belenggu dengan masalah-masalah lain.

"Sebagai contoh, mungkin akan berlaku masalah kebuluran yang hebat serta masalah sosial lain juga akan terjadi.

''Ekonomi negara tidak dapat mengalami pertumbuhan sewajarnya dan mungkin masalah kemelesetan ekonomi dunia juga boleh berlaku,'' jelasnya.

Sungguhpun begitu, Ahli Ekonomi dengan Aseambankers, Ahmad Saifuddin Morati berkata beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan kesan negatif sekiranya harga minyak terus naik, terutama oleh pihak kerajaan.

''Di Malaysia, sudah tiba masanya untuk kerajaan mencari mekanisme baru dalam pemberian subsidi. Kerajaan tidak boleh secara mendadak menghentikan subsidi kerana rakyat masih memerlukannya.

''Kerajaan perlu lebih kreatif , mungkin dengan cara memberikan subsidi lebih kepada rakyat miskin dan subsidi yang kurang kepada mereka yang mampu,'' katanya.

Selain itu, kerajaan juga harus mencari alternatif lain seperti mengenakan cukai lebih kepada rakyat mampu bagi membantu kerajaan dalam memastikan masalah kenaikan harga minyak agar tidak menjejaskan ekonomi negara, tambahnya.

''Untuk memastikan masalah kenaikan harga minyak tidak berterusan, kita seharusnya memikirkan sumber tenaga alternatif bagi mengurangkan penggantungan terhadap komoditi itu,'' kata beliau.

Mungkin kerajaan boleh menggalakkan penyelidikan terhadap penggunaan tenaga biodiesel, yang menggunakan tumbuhan seperti pokok jarak (Jatophra) bagi mengelakkan penggunaan komoditi lain seperti kelapa sawit yang turut boleh mengalami masalah kenaikan harga, katanya.

Ahmad Saifuddin berkata: ''Penggunaan pokok jarak sebagai salah satu sumber untuk menghasilkan biodiesel dilihat bersesuaian kerana ia boleh ditanam di kawasan gersang dan tidak memerlukan kos yang tinggi selain hasil minyaknya bermutu tinggi dan setanding dengan sumber tenaga sekarang.''

Katanya, penggunaan tenaga solar juga merupakan suatu cara lain yang boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan minyak mentah.

Apa yang penting sekarang, dunia haruslah sentiasa bersedia dalam menghadapi segala macam kemungkinan berhubung dengan harga minyak yang pastinya tidak akan turun tetapi sebaliknya terus meningkat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url