Top Ad 728x90

Rasuah ‘kanser’ masyarakat

PERKATAAN rasuah berasal daripada perkataan Arab al-risywah. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut.

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri.

Islam melarang keras perbuatan rasuah. Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”. (riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”. Ini bagi menunjukkan betapa Islam melarang keras perbuatan rasuah yang membawa banyak kerosakan kepada masyarakat.

Hukum perbuatan rasuah dalam Islam adalah haram. Ia bukan sahaja bertentangan dengan tuntutan agama tetapi juga bertentangan dengan norma masyarakat yang mempunyai nilai keperibadian yang tinggi. Lebih-lebih lagi bagi negara kita yang dalam usaha melahirkan modal insan yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

Perbuatan itu juga adalah merampas hak orang lain yang lebih layak. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Dalam hal ini, Allah memberi melalui firman-Nya, Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya. (al-Baqarah : 188)

Bagi umat Islam, kita perlu sentiasa menanamkan kesedaran tentang halal haram sumber rezeki dan pendapatan kita. Bukanlah harta benda yang menjadi kayu ukur kehebatan seseorang itu sebaliknya, iman dan takwalah yang menentukan baik buruknya nasib kita di akhirat kelak.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah kekayaan itu diukur hanya berasaskan banyaknya harta atau wang ringgit tetapi ia juga dilihat kepada kekayaan diri”. Ini penting agar wujud keseimbangan antara jasmani dan rohani seseorang itu.

Allah mengingatkan kita dalam bab makan minum ini melalui firman-Nya: Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di muka bumi...(al-Baqarah: 168)

Makan dan minum ini sangat penting untuk kita pastikan ia bersumberkan yang halal lagi baik. Sebabnya ia akan jadi darah daging kita. Malah Rasulullah SAW bersabda, “Setiap daging daripada tubuh anak Adam yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak baginya.”. (riwayat Tirmidzi)

Makanan ini terbahagi dua iaitu untuk jasmani atau jasad dan juga makanan untuk roh. Jasmani adalah makanan yang kita makan setiap hari seperti nasi, roti dan lain-lain. Makanan bagi roh pula ialah elemen halal haram bahan itu.

Ada yang terlibat itu mendapat gaji yang mencukupi tetapi sudah terbiasa menerima rasuah. Bagaimanakah cara untuk mereka berhenti atau bertaubat? Ada beberapa cara untuk seseorang itu bertaubat. Antaranya melalui pendidikan iman yang berterusan. Mendidik diri dan jiwa bahawa wang ringgit bukanlah segalanya.

Kita perlu ingat bahawa harta itu adalah sebagai ujian Allah bukan untuk bermegah-megah. Pepatah Melayu juga menyebut, ukur baju di badan sendiri.

Seharusnya kita menjadikan golongan kaya sebagai motivasi untuk kita bekerja lebih kuat mencari rezeki yang halal.

Sebaliknya, golongan miskin kita jadikan sebagai sempadan dan merenung diri bahawa kita lebih bernasib baik daripada mereka yang hidupnya merempat. Ia juga sewajarnya menjadi pemangkin untuk bekerja lebih kuat supaya tidak berlaku sedemikian.

Kita juga perlu melihat natijah perbuatan rasuah yang bukan sahaja menghancurkan masyarakat tetapi juga merosakkan negara.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90