Isnin, Mei 12, 2008

Wajah baru Sungai Mercang


Pemandangan perkampungan nelayan di Sungai Mercang dekat sini sememangnya cukup mendamaikan terutama bagi mereka yang mencintai keindahan alam semula jadi. Orang yang menyusuri sungai berkenaan dengan bot dapat menyaksikan pemandangan yang menyejukkan mata memandang selain berpeluang melihat aktiviti nelayan tradisional menangkap ikan.

Di sepanjang sungai itu terdapat lebih 100 nelayan aktif, kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berumur melebihi 50 tahun. Menangkap pelbagai hasil laut menjadi mata percarian mereka sejak turun-temurun. Suasana keriuhan pagi dan petang di Sungai Mercang cukup seronok untuk diikuti apatah lagi ketika nelayan membawa pulang hasil tangkapan mereka.

Bangunan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Merchang yang dahulunya dikenali sebagai Kumpulan Ekonomi Nelayan menjadi sibuk menjelang petang apabila nelayan dan penduduk setempat berkumpul di situ. Bangunan itu menjadi tempat untuk mereka berkongsi cerita mengenai hasil tangkapan setelah penat mencari rezeki seharian.

Peraih dan pembeli ikan datang sendiri ke pusat itu untuk melakukan proses tawar-menawar harga hasil laut yang dibalik balik oleh nelayan. Terdapat banyak warung di sekitar kawasan itu yang menyediakan sajian kopi panas dan keropok untuk pengunjung menikmati makanan ringan.

Selepas bersantai di Sungai Mercang, pengunjung boleh singgah di bandar Marang. Salah satu kawasan yang menjadi tumpuan ramai ialah Arca Marang Waterfront yang kini dikenali sebagai Marang Waterfront. Arca berbentuk perahu itu sebenarnya adalah simbolik yang menggambarkan betapa pentingnya kenderaan air yang digunakan di Marang sejak 100 tahun lalu. Perahu digunakan oleh pelaut untuk menangkap ikan selain dijadikan pengangkutan air.

Sejak dahulu, Marang terkenal sebagai pangkalan nelayan dari laut dan hilir mudik seperti di Kampung Pengkalan Setar Kanan dan Kampung Batangan. Mercu tanda yang dibina oleh Majlis Daerah Marang (MDM) itu direka menyerupai perahu sebagai mengenang kembali kehebatan perahu kepada pembangunan Marang suatu ketika dulu.

Tidak jauh dari arca itu terletak replika hasil laut di tengah-tengah lampu isyarat utama bandar ini yang menjadi antara tarikan utama pengunjung. Selain menjadi mercu tanda, ia juga berfungsi sebagai penanda bagi orang luar untuk ke destinasi masing-masing.
Replika hasil laut itu sebenarnya menggambarkan daerah Marang yang aktif dengan kegiatan perikanan.

Malah Marang juga menjadi destinasi popular bagi penggemar makanan laut. Antara kawasan yang menjadi pilihan ialah Kelulut yang popular dengan ikan bakarnya. Hasil laut kering pula boleh diperoleh dari Rhu Renggeh dan Rhu Muda. Sementara itu, bagi pengunjung yang ingin mengambil peluang membeli-belah, mereka boleh mencari barangan yang dikehendaki di Arked Jeti Pelancongan yang terletak di Waterfront Marang. Arked itu merupakan deretan lot niaga baru yang diwujudkan oleh MDM.

Arked itu mempunyai 12 lot niaga yang sebahagiannya menempatkan perkhidmatan kaunter bagi resort, rumah tumpangan dan perkhidmatan bot. Ia turut menempatkan kedai-kedai cenderamata yang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pelancong yang ingin ke pulau-pulau peranginan di daerah ini.

Kedudukan arked itu yang strategik iaitu berhampiran surau, taman permainan, resort, pasar dan pelbagai kemudahan lain menjadikannya antara tempat yang berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong. Tandas Awam Waterfront Marang yang terletak tidak jauh dari jeti itu pula bertaraf lima bintang selepas tandas pertama seumpama itu dibina di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Sekiranya berada di Marang, pengunjung jangan sekali-kali lupa bersantai di Taman Awam Marang yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti taman permainan, pondok rehat, trek jogging dan kerusi rehat. Bagi yang inginkan ketenangan sambil berekreasi bersama keluarga, Taman Awam Marang mungkin menjadi destinasi pilihan yang sesuai. Terletak di Waterfront Marang, taman awam yang menghadap Sungai Marang itu menjanjikan pemandangan yang indah dengan Pulau Kapas kelihatan sayup-sayup dari kejauhan.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts