Mengapa ada wanita cantik memilih lelaki yang kurang kacak?

Pernah anda terfikir mengapa ada sesetengah wanita cantik memilih lelaki yang kurang kacak sebagai pasangan hidup?

Satu kajian terbaru mendedahkan bahawa pasangan yang terdiri daripada isteri yang cantik daripada suami lazimnya lebih positif dan saling menyokong berbanding padanan yang lain.

Pengkaji berpendapat, lelaki amat menghargai kecantikan sementara wanita lebih berminat kepada suami yang memberi sokongan.

Meskipun pengkaji mengakui bahawa rupa itu adalah subjektif, tetapi tetap terdapat beberapa piawaian universal untuk menyifatkan seseorang itu cantik atau kacak.

Kajian terbaru yang dikeluarkan dalam Journal of Family Psychology baru-baru ini dipimpin oleh pengkaji James McNulty dari Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS). Pasukan McNulty telah menilai 82 pasangan yang berkahwin dalam tempoh enam bulan lalu dan telah mengenali satu sama lain hampir tiga tahun sebelum mengikat tali perkahwinan. Pasangan-pasangan tersebut puratanya berusia antara awal hingga pertengahan 20-an.

Para pengkaji melakukan rakaman apabila si isteri berbincang dengan pasangan masing-masing tentang masalah peribadinya selama 10 minit. Rakaman itu kemudiannya dianalisis sama ada pasangan mereka bersifat menyokong isu yang dibangkitkan berkaitan matlamat untuk mengamalkan pemakanan lebih sihat sehinggalah mengenai mendapatkan pekerjaan baru atau mahu bersenam selalu.

Suami yang negatif akan berkata, 'Itu masalah kamu. Kamu selesaikan sendiri,' kata McNulty sementara yang positif pula akan berkata, 'Saya sentiasa di sisi kamu, bagaimana saya boleh menolong kamu?'

Bukan sekadar merakam, mereka terlebih dahulu telah memberikan rating pada daya tarikan wajah dengan memberikan skala 1 hingga 10 dengan 10 menunjukkan paling cantik. Kira-kira sepertiga daripada pasangan yang dikaji terdiri daripada isteri yang lebih menarik berbanding suami, sepertiga lagi suami yang lebih menarik daripada isteri dan bakinya paras rupa yang setara.

Kajian menunjukkan secara keseluruhannya, isteri dan suami lazimnya bertindak lebih positif apabila si isteri lebih cantik.

"Apabila suami yang kurang kacak mengahwini seorang wanita cantik, mereka mendapat sesuatu yang lebih daripada yang dijangka. Jadi, itulah yang membuatkan mereka berusaha keras untuk mengekalkan hubungan," kata McNulty.

Lelaki yang lebih menarik pula cenderung mempunyai mentaliti sebaliknya.

Rupa fizikal lelaki yang menarik bukanlah penting bagi wanita, cadang para pengkaji. Ini kerana wanita lebih memilih suami yang bersifat menyokong.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url