Panduan berdamai bagi pasangan kekasih & suami isteri

Untuk panduan pasangan suami dan isteri @ kekasih...
Pada yang bujang..boleh juga...untuk persediaan masa akan datang... :)

Panduan Berdamai

Biasanya, setelah suami isteri bergaduh dan bertengkar, mereka mahu
berdamai. Kalau boleh, mereka mahu supaya pergaduhan itu adalah yang
terakhir. Jadi mereka inginkan perdamaian yang kekal. Tetapi biasanya, apa
yang berlaku ialah sebaliknya. Perdamaian itu bersifat sementara. Esok
lusa mereka bergaduh lagi.

Antara faktor yang menyebabkan suami isteri bergaduh dari masa ke masa
ialah kerena mereka tidak menggunakan teknik-teknik yang betul untuk
berdamai. Pakar-pakar komunikasi interpersonal memberi panduan bagaimana
cara untuk mencapai perdamaian yang tahan lama.

1. Jangan merajuk

Sejak masik kanak-kanak lagi, perempuan sudah pandai menggunakan strategi
merajuk untuk mendapat apa yang mereka hendak. Perbuatan merajuk ialah
sejenis tingkah-laku manipulatif, atau putar-belit. Ramai isteri
menggunakan strategi merajuk untuk menang dan untuk memaksa suami
mengalah. Apabila bergaduh, jangan suka merajuk.

Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah.
Malah ia boleh memburukkan lagi masalah yang ada. Walaupun dengan cara
merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk
tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah perbuatan merajuk sangat
membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula.
Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah bila
mereka hendak berdamai. Ini disebabkan si suami tahu bahawa dia sedang
dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Orang yang menganggap dirinya
dihukum tidak mempunyai dorongan untuk memulakan proses berdamai.

Manakala orang yang menghukum tidak mahu berdamai selagi dia belum menang.
Isteri-isteri berani merajuk kerana dia yakin suaminya akan mengalah dan
memenuhi kehendaknya. Dengan itu, maka menanglah si isteri. Tetapi itu
adalah keyakinannya sahaja. Banyak perbuatan isteri adalah berdasarkan
keyakinan palsu. Lain kali, bila dia merajuk lagi, helah itu mungkin
memakan dirinya sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum oleh
isterinya sendiri.

2. Jangan menghukum

Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan
buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan
begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana
hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan
salah pihak yang satu lagi.

Lelaki dan wanita mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan.
Lelaki cenderung untuk "menarik diri" di mana mereka tidak mahu lagi
bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung
untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum
dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan
sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah
hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa
bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya
menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu
berdamai, jangan menghukum.

3. Jangan berdusta

Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri pun
mahu berdamai juga, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau
jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci.
Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita
betul-betul tak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong
bersedia untuk melupakan usaha berdamai.

4. Jangan mencari salah

Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Di sini,
mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan
kekurangan-kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau silap.
Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati
orang itu. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian
mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku
masalah dalam hubungan perkahwinan.

5. Berhentikan bahasa negatif

Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah:
bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah
daripada menggunakan bahasa negatif.

"Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu." (tuduhan)

"Kenapa abang tak mahu dengar nasihat saya?" (tuduhan)

"Ini salah awak juga." (tuduhan)

"Kalau awak baik dan sayang kepada anak isteri, kita takkan

selalu bergaduh." (tuduhan)

"Abang tak guna langsung." (celaan)

"Awak tak senonoh!" (celaan)

"Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga." (celaan)

"Awak tak sedar, diri awak tu siapa." (celaan)

Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif.
Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta
suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan
sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.

6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok

Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari
esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi
kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit
perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah
terjadi, sebaliknya bercakaplah tentang apa yang hendak dibuat. Buangkan
perkataan "dahulu" dan "semalam" daripada kata-kata kita. Kedua-dua
perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh
menyelesaikan "dahulu" dan "semalam".

7. Senyum semula

Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki
terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum
lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang
mujarab untuk berdamai semula.

8. Mulakan berdamai

Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana
masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing
mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang
memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar
kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama untuk berdamai. Jangan
tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti bahawa
kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai kata orang
itu menolak usaha kita, kerana dia memang tidak mahu berdamai,
sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk berdamai, jadi kita tidak
berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.

9. Kenal pasti punca masalah

Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak
dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan
berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang
suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu
tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya, dan
konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti dengan tepat punca masalah
itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah
berlaku, tetapi untuk mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa
depan. Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan
perkataan-perkataan yang berfungsi sebagi label kepada perbuatan orang
itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia
telah lakukan sehingga tercetusnya konflik.

a. "Awak tak bertanggungjawab." (x)

"Saya mahu supaya saya diberi wang belanja dapur yang cukup

tiap-tiap bulan." (/)

b. "Awak degil." (x)

"Saya mahu supaya cakap saya didengar dulu sebelum awak

bantah." (/)

c. "Awak sudah bosan dengan saya." (x)

"Saya mahu supaya saya diberikan sedikit perhatian, jadi saya

tak berasa diri saya diabaikan." (x)

10. Kenal pasti perubahan

Terangkan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan.
Oleh kerana konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak
disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah-laku itu.

Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah
tingkah-lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan
perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan
pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah-laku yang mana satu yang
mesti diubahnya.

Sebagai contoh, perkataan biadab di dalam ayat "Awak biadab." mempunyai
makna yang kabur, kerana perkataan itu tidak memberitahu dengan tepat
perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi,
sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan
bagaimana dia hendak mengubah tingkah-lakunya kepada yang "tidak biadab".

a. "Jangan biadab pada saya." (x)

"Jangan menengking saya." (/)

b. "Jangan suka tunjuk gaya." (x)

"Tak payahlah awak belajar main golf." (/)

c. "Jangan pemalas." (x)

"Jangan selalu tidur siang." (/)

d. "Layan saya dengan betul." (x)

"Jangan paksa saya makan nasi bungkus selalu." (/)

e. "Jangan syirik." (x)

"Jangan bomohkan saya." (/)

Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu
dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia
memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam perasaan seronok,
gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari sebagaimana manusia
perlu belajar cara berlari menggunakan teknik-teknik yang betul.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url