Alam Semesta Berbentuk Trompet

Persoalan tentang bentuk alam semesta atau dalam bahasa saintifiknya 'geometry of the universe' sentiasa menjadi subjek kajian para ahli astronomi dan ahli kosmologi. Dengan bantuan pelbagai alat dengan teknologi terkini, pelbagai teori telah dikemukakan tentang rupa bentuk sebenar alam semesta ini. Adapun dalam menerangkan bentuk alam semesta, para saintis menggunakan dua kaedah iaitu local geometry, berkaitan tentang kelengkungan alam semesta yang mampu dilihat dengan mata atau bantuan teknologi manakala global geometry pula menjelaskan tentang topologi alam semesta secara keseluruhannya.

Kosmo Berbentuk Trompet

Terkini, saintis telah mengemukakan satu lagi teori yang menyatakan bahawa alam semesta berbentuk seperti trompet. Bentuk trompet ini atau nama lainnya Picard horn atau Picard topology dapat dijelaskan melalui hyperbolic geometry. Bentuk ini nampak seperti tidak masuk akal, akan tetapi menurut Frank Steiner dari University of Ulm yang mengetuai kumpulan pengkaji dari German, beliau mengatakan bahawa berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, beliau mendapati alam semesta (kosmo) seolah diregangkan menjadi corong yang panjang. Satu bahagian sempit satu bahagian lagi terbuka luas seperti loceng. Dengan kata lain juga, ruang angkasa adalah terbatas.

Persoalan Terjawab

Teori ini berjaya menyelesaikan dua teka-teki dari pemerhatian yang diperoleh. Salah satunya adalah tentang corak tompok-tompok panas dan sejuk yang dilihat pada cosmic microwave background radiation. Pemerhatian ini menunjukkan bahawa alam semesta saling tidak ubah seperti alam semesta pada 380,000 tahun selepas kejadian Big Bang. Dengan bantuan WMAP milik NASA, mereka mendapati bahawa corak-corak tersebut terpadam dengan skala yang besar di mana tiada tompok-tompok panas atau sejuk jelas yang melebihi 60 darjah. Berdasarkan fakta ini, Frank Steiner mendakwa bahawa teori yang dikemukan mereka disokong oleh pemerhatian ini.

Model ini juga menjawab satu lagi teka-teki yang menjadi persoalan apabila pada tahun 2003, satu kumpulan saintis menyatakan bahawa alam semesta ini terbatas (finite). Kumpulan saintis ini menggunakan model bentuk bola atau spherical universe. Akan tetapi seperti yang telah dijelaskan tadi, model ini tidak menepati data yang diperoleh dari WMAP apabila mereka gagal menemui sebarang imej back-to-back melalui analisis data. Sebaliknya, bentuk trompet yang dikemukakan tidak bercanggah dengan data dari WMAP.

Ruang Angkasa Yang Elip

Model ini juga mempunyai satu lagi kelebihan lain. Menurut teori yang konvensional iaitu berbentuk mendatar atau leper, tompok yang paling kecil pada langit mikroglombang (microwave sky) sepatutnya berbentuk bulat, namun hakikatnya tidak begitu. Menurut Steiner, tompok-tompok tersebut sebenarnya mempunyai bentuk sedikit elips. Picard topology menjelaskan keadaan ini. Dalam model tersebut, ruang lengkung angkasa bertindak sebagai kanta yang mengubah imej tompok yang sejak dari dahulu lagi bulat kepada bentuk yang dilihat seperti elips oleh mata kita.

Namun yang demikian, para saintis terpaksa meninggalkan salah satu prinsip asas kosmologi yang mengutarakan bahawa seluruh bahagian alam semesta ini secara kasarnya adalah serupa apabila menerima pakai model ini. Menurut Holger Then pula iaitu salah seorang ahli kumpulan pengkaji tersebut,

“If one happens to find oneself a long way up the narrow end of the horn, things indeed look very strange, with two very small dimensions.”

Apa yang menarik dalam model ini pada bahagian yang paling hujung, seseorang itu dapat melihat belakang kepalanya sendiri!


Menurut Kaca Mata Al-Qur’an


Dan Dia lah Yang menciptakan langit dan bumi Dengan (tujuan) Yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. dan bagiNyalah Kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. ia Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. [Al-An’aam : 73]

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu Matilah makhluk-makhluk Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, kecuali sesiapa Yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka Dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). [Az-Zumar : 68]


Bukankah sangkakala juga dikenali sebagai trompet?

Di sini bukanlah tujuan saya untuk mencari-cari ayat Al-Qur’an demi membenarkan kandungannya berdasarkan penemuan-penemuan sains seperti di atas. Teori sekali-kali tidak akan mengatasi Hukum. Apatah lagi untuk membenarkan. Al-Qur’an bukan sebuah kitab yang mengajar sains, tapi merupakan kitab yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran-Nya seperti ungkapan popular oleh Dr Zakir Naik,

“Koran is not a book of science but a book of signs”

Penemuan sains melalui pelbagai proses evolusi sebelum hakikat sebenar ditemukan. Sebagai contoh, para cendekiawan Islam dahulu kala sendiri hanya baru mendapati bahawa bumi ini berbentuk sfera setelah kira-kira 830 M. Malah sebelum itu, mereka juga percaya bahawa bumi ini mendatar. Akan tetapi setelah kajian dilakukan, barulah mereka menemui hakikat bahawa bumi ini sebenarnya sfera. Mengapa fakta sains ini tidak terus saja diekstrak dari Al-Qur’an? Mengapa perlu ada kajian sebelum merumuskan fakta yang sedia ada di dalam Al-Qur’an? Sesungguhnya ini adalah tanda yang dimaksudkan oleh Allah seperti firman-Nya:


Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam Yang terbentang Luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka Bahawa Al-Quran adalah benar. belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) Bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? [Fusshilat : 53]

Cara Allah memberi hidayah ialah dengan kita mencari, bukan hanya bergoyang kaki.Begitu juga cara Allah memperlihatkan kita tanda-tanda-Nya, dengan mencari dan mengkaji.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url