Cantik tapi dilaknat Allah

USTAZ MOHD ZAWAWI YUSOH

“Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan.” Begitulah bunyinya hadis Nabi s.a.w yang menggambarkan keindahan agama yang dibawa.

Cantik dan berhias itu memang dituntut Islam. Islam tidak suka umatnya selekeh, kusut masai dan tidak terurus. Nabi Muhammad sendiri seorang yang sangat kemas, kacak dan menarik sekali, malah senang mata apabila melihatnya, malah menjadi kewajipan isteri berhias diri untuk tatapan suami tercinta.

Apabila bercerita mengenai cantik dan semua orang hendak cantik, bertepatan pula dengan fitrah manusia yang memang hendak cantik saja dan asal cantik.

Justeru, kemajuan perubatan mengambil kesempatan. Dengan penemuan moden dan kebolehan doktor membantu ‘cepat cantik’ dengan suntikan botoks dan sebagainya.

Hari ini, remaja, kalangan artis, lebih-lebih lagi isteri yang mula meningkat usia, demi cantik atau karier sanggup berbuat apa saja.

Keinginan mahu cantik itu tidaklah salah tetapi yang kena difikirkan juga ialah caranya biarlah tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sebagai rujukan dan renungan suka saya bertazkirah (memberi ingatan) kali ini mengenai hukum botoks. Merujuk kepada fatwa kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia, muzakarah mereka kali ke-74 bermula pada 25 hingga 27 Julai 2006 memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botoks adalah haram digunakan kerana ia didapati mengandungi bahan meragukan dan bersifat najis.

Bagaimanapun, ada pihak yang cuba mempertikaikan keputusan itu dengan mengatakan bahawa bahan yang digunakan untuk menghasilkan botoks hanya protein, malah bukan protein daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor.

Pihak ini juga cuba mendakwa, dari segi kesihatan, penggunaan botoks tidak memudaratkan jika ia dilakukan pihak yang bertauliah dan menggunakan teknik suntikan yang betul.

Cuma pihak ini tidak menolak kemungkinan ia akan menimbulkan kesan sampingan jika digunakan berlebihan tanpa pemantauan atau diselia pihak bertauliah.

Bagaimanapun, isu utama yang menyebabkan ia menjadi haram pada pandangan syariah ialah:

- Unsur najis dan kotoran di dalam bahan botoks. Kajian mendapati botoks atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat.

Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat.”

- Mengubah ciptaan Allah untuk tujuan cantik. Isu mengubah ciptaan Allah S.W.T terhadap diri seseorang.

Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi harus.

Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah an-Nisa’ iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

“Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).

“Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya.

Terdapat juga hadis yang menyebut: “Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuat tatu dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat Thabarani)

Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di sebahagian besar tubuh badan mereka.

Bahkan pada masa pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu.

Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau orang yang minta dibuat tatu. Cantik biarlah selari dengan kehendak Allah dan cantik hakiki bermula dengan kecantikan dalaman (inner beauty).
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url