Doa pada orang yang berperangai buruk @ kenderaan bermasalah
PATUTKAH sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan. (ali-‘Imran: 83).
Keterangan ayat:
“Taat secara sukarela” adalah umat Islam, manakala maksud “secara terpaksa” ialah golongan kafir. Mereka taat secara paksa kerana mereka tercari-cari tempat pergantungan. Malangnya, mereka terpaksa taat kepada nafsu syahwat mereka bagi memenuhi naluri ingin bertuhan. Pada hari akhirat kelak mereka terpaksa taat kepada Allah SWT. (Tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat 83, surah Ali-‘Imran).
Khasiat dan kaifiat beramal:
Menurut al-Tabarani dalam al-Awsat, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah ayat ini kepada seseorang yang buruk perangainya dari kalangan anak, pekerja dan kenderaan agar berubah kepada yang lebih baik. Caranya ialah dengan membacakan ayat ini pada telinganya”. (riwayat Ibn Sunni, Lihat al-Azkar, Bab Menghadapi kenderaan bermasalah, Tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 83, surah Ali-‘Imran).
- Petikan buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran: Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.