Perancangan Kewangan
Sama ada kaya atau miskin, seseorang itu perlu memahami sekurang-kurangnya perkara asas mengenai perancangan kewangan.
Konsep perancangan kewangan adalah mudah iaitu kita mesti mengetahui berapa banyak wang yang dibelanjakan, mengenal pasti matlamat kewangan masa depan dan mencari jalan bagaimana mencapai matlamat itu.
Mengapa perancangan kewangan itu penting dalam kehidupan kita adalah kerana selain mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan harian, kita juga perlu mengenepikan sebahagian daripada wang kita untuk perbelanjaan di hari tua dan kegunaan kecemasan.
Disebabkan itulah kita perlu mempunyai perancangan kewangan yang baik.
Bagaimana hendak menuju ke arah mempunyai disiplin perancangan kewangan yang baik?
Pertama sekali, anda perlu mengenalpasti perbelanjaan. Seringkali kita tidak dapat mengenalpasti dengan tepat ke mana dan berapa wang dibelanjakan setiap bulan selain daripada membayar bil.
Jadi jika anda mahu memastikan kewangan anda terkawal, anda perlu melihat semula cara berbelanja dan mengenalpasti perbelanjaan bagi tujuan yang tidak perlu.
Dalam aspek ini, perancang kewangan biasanya akan menasihatkan anda supaya mencatat semua perbelanjaan bulanan dan membandingkannya dengan pendapatan bersih yang diterima setiap bulan.
Jika jumlah perbelanjaan melebihi pendapatan bersih, anda dikategorikan sebagai hidup berhutang.
Jika ini berlaku, anda perlu memikirkan untuk mengurangkan perbelanjaan ke atas perkara yang tidak perlu.
Contohnya, jika anda minum kopi di Starbucks setiap pagi, anda mungkin perlu menimbang untuk meminum Nescafe di rumah.
Setelah memahami aspek perbelanjaan, perkara kedua yang penting dalam perancangan kewangan adalah mengenai aspek simpanan dan pelaburan.
Dari segi simpanan, kebanyakan daripada kita setidak-tidaknya mempunyai akaun simpanan, semasa atau simpanan tetap.
Selain itu, kita juga bernasib baik kerana diwajibkan menyimpan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kegunaan masa depan.
Bagaimanapun, simpanan KWSP semata-mata tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan selepas persaraan terutama jika mempunyai jangka hayat yang lama.
Disebabkan itulah pentingnya aspek perancangan kewangan. Selain itu, memandangkan perbelanjaan kesihatan dan pendidikan tinggi untuk anak anda semakin meningkat, anda juga perlu merancang kewangan bagi tujuan itu.
Jika anda mempunyai lebihan wang, adalah lebih baik ia didepositkan ke dalam bank bagi menampung kegunaan di waktu kecemasan.
Jika mempunyai wang yang lebih pula daripada jumlah simpan kecemasan, anda mungkin boleh memikirkan pula untuk melaburkan wang berkenaan bagi memaksimumkan pulangannya.
Ada banyak saluran di mana anda boleh melaburkan wang seperti dalam pasaran bon, ekuiti atau saham dan saham amanah.
Bank selalunya mempunyai perancang kewangan yang boleh membantu anda dalam aspek ini.
Mereka boleh menasihatkan anda ke mana sepatutnya wang anda itu dilaburkan kerana pelaburan bergantung kepada faktor seperti matlamat dan keperluan, umur, jangka masa, pendapatan dan kesediaan berdepan dengan risiko pelaburan itu sendiri.
Sebagai contoh, jika anda sudah bersara dan mempunyai tahap toleransi risiko yang rendah, anda dinasihatkan supaya tidak melabur dalam produk pelaburan yang turun-naik dan berisiko tinggi seperti pasaran hadapan dan mungkin juga di pasaran saham yang mana jika harga jatuh ia boleh menyebabkan kejutan kepada anda.
Seperkara lagi yang menjadi elemen penting dalam perancangan kewangan adalah aspek pinjaman.
Anda perlu faham bahawa tidak semua pinjaman itu dianggap sebagai sesuatu yang tidak baik.
Pinjaman bagi tujuan membeli rumah misalnya adalah suatu pinjaman bagi tujuan yang baik.
Pinjaman perumahan bukan saja memberikan anda sebuah rumah sebagai tempat berlindung tetapi ia juga mampu meningkatkan aset dan kedudukan kewangan anda.
Bagaimanapun anda perlu memastikan supaya pinjaman yang dibuat itu mampu dibayar balik.
Sebaliknya, hutang yang disebabkan daripada perbelanjaan menggunakan kad kredit bukanlah satu petunjuk perancangan kewangan yang baik.
Jika anda mengidamkan sesuatu barangan yang mahal harganya seperti jam tangan berjenama, adalah lebih baik anda menyimpan buat suatu jangka masa tertentu dan membayar penuh secara tunai kerana jika anda membeli jam itu dengan kad kredit, kadar faedah boleh menjadi tinggi dan akhirnya anda membayar semula dengan harga yang lebih mahal daripada harga sebenar jam tangan itu.
Jika anda sudah terjebak dalam hutang keliling pinggang, ia tidak bermakna kehidupan anda sudah tidak bermakna.
Anda sebaliknya perlu berusaha memulihkan semula hutang anda. Anda boleh berjumpa pihak bank untuk menjadualkan atau menstruktur semula pembayaran hutang berkenaan.
Bank biasanya boleh menimbang perkara berkenaan. Jika anda tidak dapat mencari jalan penyelesaian dengan bank, anda boleh merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah agensi yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia.
AKPK menyediakan nasihat pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan perkhidmatan penstrukturan semula hutang kepada individu secara percuma.
Lebih cepat anda dapat menyelesaikan hutang anda, lebih cepat pula anda boleh merancang kewangan demi kebaikan diri sendiri dan keluarga.