Sistem 'Kemudahalihan Nombor Selular' (MNP)

Pengguna telefon bimbit seluruh negara boleh menikmati sistem 'Kemudahalihan Nombor Selular' (MNP) yang membolehkan mereka mengekalkan nombor selular yang mereka gunakan, walaupun bertukar penyedia perkhidmatan, mulai Oktober 2008.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata pengguna telefon selular di Kuala Lumpur bagaimanapun, akan mula menikmati kemudahan di bawah sistem itu bulan depan, sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara pada Oktober.

“Dari segi caj, kita akan biarkan pihak industri menentukannya, namun kadar maksimum RM25 telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita.

Hong Kong, United Kingdom, Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Korea Selatan dan Taiwan adalah antara negara yang melaksanakan MNP.

Sementara itu, Shaziman berkata, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) mahu meningkatkan kadar liputan perkhidmatan selular daripada 92 peratus kepada 97 peratus pada akhir 2010 melalui program yang dikenali sebagai ‘Time 3’.

Beliau berkata, program itu meliputi kawasan pedalaman di seluruh negara dengan kepadatan penduduk kurang 80 orang dalam satu kilometer persegi, termasuk tanah rancangan Felda, Fecra dan kawasan perkampungan orang Asli selain lebuh raya persekutuan dan kawasan tumpuan pelancongan baru yang masih belum diliputi oleh perkhidmatan selular.

Katanya, menerusi program itu, 1,250 unit menara telekomunikasi akan dibina dalam dua fasa, dengan fasa pertama yang membabitkan 600 unit menara, bermula bulan lalu hingga Disember tahun depan, manakala fasa kedua yang membabitkan 650 unit menara, bermula pada Julai tahun depan hingga akhir 2010. - Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url