Ulang tahun ke-63 serangan atom Hiroshima


Berpuluh-puluh ribu penduduk bertafakur pada upacara di bandar raya Hiroshima, hari ini pada ulang tahun ke-63 serangan bom atom pertama di dunia.

Datuk Bandar Hiroshima, Tadatoshi Akiba dalam ucapannya sekali lagi menyelar negara-negara yang enggan membubarkan senjata nuklear mereka.

Genta bergema tepat pada pukul 8.15 pagi (waktu sama di Malaysia) menandakan detik sebenar apabila bom yang dikenali sebagai Little Boy itu digugurkan di bandar raya itu.

Puluhan ribu maut apabila bom itu meledak dan ramai lagi meninggal dunia kemudian akibat radiasi.

"Kita yang menuntut penghapusan senjata nuklear merupakan kelompok majoriti.

"Tahun lalu, 170 negara mengundi untuk menyokong resolusi tajaan Jepun di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut pembubaran senjata nuklear, dan hanya tiga negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menentang resolusi itu," kata Akiba.

Turut hadir Perdana Menteri Yasuo Fukuda dan mangsa serangan yang kini sudah menjadi warga emas.

Akiba juga berjanji untuk meningkatkan usaha bagi membantu mangsa yang masih menanggung kesan fizikal dan mental akibat serangan AS pada 1945 itu.

Serangan pada hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua itu disusuli beberapa hari kemudian dengan satu lagi serangan bom atom ke atas bandar raya Nagasaki di selatan negara ini.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url