153,201 terima bantuan Aidilfitri Dana Khas Persekutuan

Seramai 153,201 golongan kurang berkemampuan, termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan keluarga miskin di negeri ini mula menerima bantuan Aidilfitri melalui peruntukan Dana Khas Persekutuan antara RM200 hingga RM400 membabitkan peruntukan sebanyak RM46 juta mulai semalam.

Pengagihan bantuan itu dilakukan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula semalam sehingga Isnin ini bagi memastikan golongan kurang berkemampuan dapat membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Tinjauan di beberapa lokasi mendapati, orang ramai mula berkumpul untuk menerima wang berkenaan di beberapa lokasi yang sudah ditetapkan sejak kaunter dibuka pada jam 9 pagi.

Tinjauan di Taman Budaya Ibai yang mengagihkan bantuan bagi DUN Batu Burok mendapati agihan dibahagikan mengikut jadual dan masa sudah ditetapkan mengikut kampung bertujuan memastikan kelancaran agihan dan mengelak kaunter agihan menjadi sesak.

Seorang penerima yang ditemui, Fatimah Mamat, 53, berkata dia bersyukur menerima bantuan itu kerana dapat meringankan bebanannya membuat persiapan penyambut Aidilfitri lebih-lebih lagi terpaksa menanggung sembilan anak sejak bergelar ibu tunggal tiga tahun lalu.

Dia yang berasal dari Kampung Tok Adis adalah antara 20,157 ibu tunggal yang menerima bantuan itu.

"Melalui wang yang diterima dapatlah saya membeli serba sedikit pakaian sembilan anak-anak sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tak lama lagi," katanya.

Penerima, Ismail Taib, 45, berkata dia berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.

"Melalui wang yang diterima dapatlah saya membeli barangan keperluan sebagai persediaan menyambut Hari Raya," katanya,

Suasana sama turut dirasai di Dewan Sivik Kampung Buluh Gading yang mana orang ramai mula mendapatkan wang bantuan Aidilfitri sejak kaunter mula dibuka jam 9 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said turut meluangkan masa meninjau kelancaran pengagihan wang berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, berkata seramai 1,267 penerima menerima bantuan masing-masing semalam membabitkan peruntukan sebanyak RM383,000.

"Pembahagian bantuan Aidilfitri membabitkan DUN Teluk Pasu tahun ini dilaksanakan selama empat hari iaitu hari ini (semalam), 18, 21 dan 22 September ini.

"Penerima semalam adalah warga miskin Kampung Teluk Pasu, Kampung Sekati, Kampung Haji Awang, Kampung Tanjung Bunut, Kampung Buluh Gading dan Kampung Kubang Jela," katanya.

Beliau berkata, hampir 5,000 penduduk di DUN Teluk Pasu layak menerima bantuan berkenaan dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.5 juta.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url