Minum teh lebih fokus


Berita baik buat para penggemar teh. Ramai yang tentu masih belum tahu bahawa minum secawan teh sebenarnya mampu meningkatkan daya tumpuan dan fokus di samping membantu mengurangkan berat badan.

Pada Simposium Sains Teh Serantau yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, sekumpulan pakar termasuk saintis, penyelidik dan doktor dari dalam dan luar negara menemui satu kesimpulan daripada meminum teh - ia membantu menajamkan tumpuan atau fokus.

Hasil kajian turut mendapati, pengambilan teh juga memberi kesan positif terhadap kecerdasan otak dengan meningkatkan aktiviti otak alfa, seterusnya menambah tumpuan kepada maklumat yang diperoleh menerusi rangsangan deria.

Menariknya, kandungan catechins iaitu flavonoid aktif juga terbukti berkesan ke atas komposisi badan dan pengagihan lemak sekali gus mengawal masalah kegemukan atau obesiti yang semakin meningkat jumlahnya di dunia.

Menurut Pengurus Pemakanan Global Minuman Unilever, Dr. Jane Rycroft, rahsianya adalah asid amino dinamakan L-theanine iaitu komponen semula jadi yang terkandung dalam setiap cawan teh.

“Dahulu, penyelidik Jepun mendapati 200mg (miligram) L-theanine meningkatkan gelombang otak alfa, namun kemudiannya kajian oleh Universiti Oxford mendapati 50mg L-theanine meningkatkan aktiviti otak alfa secara beransur-ansur selepas 80 minit meminum teh,” katanya.

Simposium itu dianjurkan oleh Lipton Institute of Tea dan dihadiri pakar penyelidik dari Australia, China dan Malaysia, bertujuan berkongsi platform secara objektif dan saintifik tentang khasiat meminum teh.

Antaranya dapat memperbaiki prestasi mental dengan meminum dua hingga tiga cawan teh sehari apatah lagi ia merupakan minuman paling popular selepas air kosong.

Aroma yang dikeluarkan oleh daun teh pula mencetuskan perasaan tenang manakala si peminum teh didapati mempunyai jantung yang lebih sihat berbanding golongan yang tidak meminumnya.

Teh langsung tidak mengandungi kalori jika diminum tanpa susu dan gula, oleh itu ia merupakan pilihan ideal bagi menggantikan minuman manis.

Oleh itu, minumlah dua hingga tiga cawan teh sehari untuk meningkatkan prestasi mental di samping memelihara kesihatan gigi kerana flavonoid juga membantu mengukuhkan enamel menentang asid dan ejen anti-bakteria yang berkesan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url