Putin paling berpengaruh di dunia
Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin, buat pertama kali mendahului senarai tahunan 100 individu paling berkuasa dan berpengaruh di dunia yang dikeluarkan majalah Vanity Fair.
Bekas Presiden, yang baru-baru ini mencetuskan krisis antarabangsa dan menaikkan kemarahan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) dengan mewajarkan tindakan ketenteraan di Selatan Ossetia untuk berdepan dengan pencerobohan Georgia, menggantikan pendahulu tahun lalu, Rupert Murdoch.
Ia adalah penyenaraian kali pertama bagi Putin, yang dikatakan Vanity Fair, ‘mewakili global, sekumpulan pemikir, pemilik, pencipta dan pembeli yang mempunyai cita rasa, pencetus aliran, pemberi pendapat dan pencipta agenda dalam dunia politik, hiburan, media, perniagaan, teknologi dan fesyen.’
Mengambil kira senarai berkenaan, majalah itu menambah, ia ‘berdasarkan beberapa faktor: kekayaan dan pengaruh, selain visi, kemurahan hati dan faktor ‘x’.
Putin masih kekal menjadi pemimpin berpengaruh di negara paling besar di dunia itu selepas meletak jawatan sebagai Presiden, tanggungjawab yang dipegangnya selama lapan tahun, Mei lalu. Majalah itu menyatakan, beliau memperoleh sehingga 80 peratus sokongan di negaranya berikutan kejayaan dalam membangunkan semula ekonomi Russia dan usahanya membina semula ketenteraan dan maruah negara itu.
Bagaimanapun, Vanity Fair menambah, pemimpin berusia 55 tahun itu turut dikritik kerana mengehadkan kebebasan bersuara dan demokrasi, mengawal media, memenjarakan musuhnya dan menamakan protegenya, Dmitri Medvedev, sebagai Presiden.
- Agensi