Abdullah tidak bertanding

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan sekaligus memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.

Perdana Menteri yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden UMNO yang baru pada pemilihan parti kira-kira enam bulan lagi mahu Najib mengambil alih kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.

Dalam sidang akhbar yang penuh sesak selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Abdullah berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam UMNO dan kerajaan, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

“Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung yang akan datang,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Najib, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, serta para pemimpin parti komponen BN, antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Menurut Abdullah, sebelum tempoh peralihan kuasa dilaksanakan Mac depan, beliau mahu melaksanakan tiga inisiatif bagi membolehkan negara terus melangkah maju, memperbaiki daya saing dan mengharungi cabaran luaran.

“Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik,” tegasnya.

Tiga inisiatif itu adalah memperkukuhkan institusi negara seperti badan kehakiman dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Perdana Menteri berkata, dua lagi inisiatif yang akan dilakukan adalah memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu serta BN memperbaharui komitmen terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Proses peralihan kuasa Perdana Menteri kepada timbalannya itu sebelum ini dirancang dilakukan pada tahun 2010. Bagaimanapun, atas desakan ahli-ahli UMNO, ia dipercepatkan pada Mac tahun depan.

Bahagian-bahagian UMNO yang akan membuat pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi parti akan bermesyuarat antara 9 Oktober dan 9 November ini, dengan Najib secara terbuka disebut-sebut akan diberi sokongan padu oleh akar umbi untuk menjadi Presiden UMNO.

Abdullah yang sebelum ini didesak oleh banyak pihak agar melepaskan jawatan tersebut lebih awal berkata, beliau tidak mahu melihat UMNO dan BN berpecah belah.

Perdana Menteri berkata, keputusan untuk berundur itu juga dibuat ekoran daripada prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu apabila BN kehilangan banyak kerusi kepada parti pembangkang termasuk lima negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya itu, BN kehilangan majoriti dua pertiga kerana hanya memperoleh 140 kerusi Parlimen manakala barisan pembangkang mempunyai 82 orang wakil di Dewan Rakyat.

“Saya tahu saya tidak buat begitu baik pada pilihan raya umum Mac lalu dan perlu ada pemimpin generasi baru untuk menerajui parti,” katanya.

Ditanya sama ada para pemimpin parti komponen BN yang lain menerima Najib sebagai pengganti beliau, Abdullah berkata, mereka menyambut baik peralihan kuasa tersebut.

“Saya tidak memujuk mereka atau berkata apa-apa. Apa yang mereka kata adalah apa yang mereka lahirkan, ini bukan kempen untuk Najib,” katanya.

Mengenai persidangan perwakilan bahagian UMNO yang mungkin mencalonkan beliau sebagai Presiden, Abdullah berkata: “Saya sudah buat keputusan, apa orang boleh buat... kita sudah bagi tahu awal-awal lagi.”

Katanya, beliau juga tidak berhasrat untuk menamakan mereka yang akan menjadi Timbalan Presiden parti apabila Najib menjadi Presiden kelak.

Perdana Menteri seterusnya menambah: “Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini.

“Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Najib, sebuah negara yang mampu berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama, melainkan perpaduan dan keharmonian.’’

Beliau berkata, sekarang bukan masanya untuk berbalah sesama sendiri atau untuk berpolitik secara sempit sebaliknya kini adalah masa bagi memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara ahli-ahli UMNO dan BN serta meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url