Akademik & sahsiah perlu seimbang
Bagi memastikan anak-anak cemerlang, ibu bapa sanggup melaburkan wang yang banyak sehingga anak-anak tertekan untuk memenuhi impian ibu bapa itu.
Meskipun pelbagai pihak berusaha melaksanakan komitmen bagi mengikis persepsi itu, kebanyakan ibu bapa masih berpendapat akademik mampu mencerna serta menjamin kecemerlangan pelajar.
Persoalannya, adakah definisi kecemerlangan itu hanya merujuk kepada akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan lain seperti pembinaan sahsiah diri?
Jika pelajar kurang cemerlang, adakah mereka boleh dikategorikan sebagai gagal dalam hidup dan tidak mempunyai masa depan?
Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Dr Md Tahir Azhar, berkata tidak adil melabelkan pelajar kurang cemerlang kelompok tidak mempunyai masa depan.
Beliau berkata, sikap masyarakat yang terlalu mementingkan pencapaian akademik punca sebahagian mereka gagal merancang hidup pada masa depan.
“Apabila sasaran ibu bapa untuk melihat anak cemerlang dalam akademik gagal, pelajar itu akan jadi mangsa. Mereka akan menerima tekanan dan dikritik.
“Ini mematikan motivasi dan semangat hidup selain menjadi lemah menghadapi cabaran hidup.
“Pelajar akan jadi mangsa demi memuaskan kehendak ibu bapa sedangkan pada masa sama, mereka mungkin ada perancangan sendiri,” katanya.
Sikap ibu bapa yang sering memberi tekanan kepada anak supaya cemerlang dalam pencapaian akademik bukan isu baru di kalangan masyarakat.
Meskipun sistem pendidikan sudah melaksanakan dasar baru bagi mengimbangi tuntutan akademik dan kokurikulum, sebahagian besar ibu bapa masih tidak mampu mengubah persepsi itu sekali gus membebankan pelajar.
Menurut Dr Md Tahir, istilah berjaya dan cemerlang adalah subjektif dan ibu bapa atau masyarakat tidak boleh membuat penilaian hanya melalui pencapaian akademik.
“Sejak dulu lagi, masyarakat disogokkan dengan tanggapan, apabila berjaya dalam peperiksaan, pelajar itu cemerlang.
“Persepsi itu bukan saja akan menjadikan pelajar mangsa malah membuatkan mereka mengetepikan kepentingan aspek lain seperti kokurikulum.
“Cabaran dunia pendidikan atau kerjaya bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata malah keperluan lain terutama pembangunan sahsiah diri,” katanya.
Mengenai sikap ibu bapa yang meminggirkan anak kurang cemerlang, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, ibu bapa perlu menanam keyakinan tinggi kepada anak dan memberi peluang mencorakkan masa depan berdasarkan minat serta cita-cita bukan mengetepikan mereka.
“Ibu bapa sedemikian kejam dan wajar dipersalahkan.
“Mereka mendera secara tidak sedar sehingga anak-anak tertekan,” katanya,
Ditanya adakah semua kesalahan wajar diletakkan pada ibu bapa, Dr Md Tahir, berkata bebanan itu sewajarnya dikongsi bersama.
“Jangan salahkan satu pihak. Kejayaan pelajar bukan saja hak individu tapi semua terbabit.
“Pelajar kurang berjaya bukan saja disebabkan ibu bapa semata-mata tetapi faktor lain seperti struktur sosial sesebuah masyarakat, populasi dan persaingan,” katanya.