Gejala otot tegang
Pertambahan berat badan termasuk dalam senarai faktor yang menjejaskan kesihatan.
Apabila berat badan bertambah, secara automatik jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah, fungsi organ pada bahagian abdomen seperti hati juga terjejas akibat kehadiran banyak sel lemak, manakala otot di kaki menerima lebih beban dan tekanan.
Kurang bersenam juga membuat otot di seluruh badan tegang dan kurang anjal. Otot tegang boleh mengurangkan kelancaran aliran darah di bahagian berkenaan dan menyebabkan banyak masalah, termasuk kesakitan.
Ruang pergerakan otot yang tegang menjadi terhad. Ini sebabnya kita alami kesakitan apabila menggerakkan otot yang tegang melebihi hadnya. Jika dibiarkan, ia menyebabkan kesakitan pada bahagian lain.
Pekerjaan yang banyak menggerakkan badan seperti petani dan peladang jarang mengadu mengalami sakit otot, sebaliknya ia lebih kerap dialami pekerja pejabat, terutama yang duduk mengadap komputer sepanjang hari.
Antara kesakitan yang selalu dialami kebanyakan orang ialah sakit belakang, tegang bahu dan pergelangan tangan (juga dipanggil sindrom terowong karpal). Senaman (dimulakan dengan memanaskan badan dan diakhiri dengan regangan) dapat ‘melembut’, menguat dan menganjalkan otot.
Bagaimanapun, beberapa cara boleh dilakukan untuk mengelak masalah ini seperti:
Kurang atau pendekkan masa duduk. Duduk memberi lebih tekanan kepada bahagian belakang berbanding ketika berdiri. Apabila duduk, semua tekanan tertumpu pada tulang belakang, terutama pada pinggang.
Lama kelamaan ia melemahkan ligamen. Ligamen mula koyak dan menyebabkan sakit pada pinggang, celah kangkang, kaki dan punggung. Cara mengelaknya ialah bangun dan berjalan-jalan seketika selepas 20 hingga 30 minit duduk.
Jangan membongkok untuk mengangkat barang, terutama jika ia berat. Cara betul ialah merendahkan badan (seperti mahu duduk) terlebih dulu. Lebih baik jika anda mendapatkan bantuan orang lain untuk mengangkat barang itu bersama-sama.
Mengangkat barang dengan membongkok menyebabkan regangan berlebihan pada otot, sendi dan ligamen tulang belakang. Ajar anak cara betul untuk mengangkat barang, tidak kira sekecil mana pun barang yang mahu diambil.
Mungkin ramai tidak sedar kaedah yang kita gunakan hari ini (mengangkat barang dengan membongkokkan badan) dipelajari daripada ibu bapa. Jadi langkah ini dapat mengelak kesilapan sama berulang pada anak kita.
Untuk wanita hamil atau ibu yang ada anak kecil, buat pelaburan bijak dengan membeli meja untuk menukar lampin anak. Ramai bakal ibu dan bapa geram melihat katil bayi yang comel sehingga sanggup membelinya dengan harga mahal.
Bagaimanapun, ia kurang praktikal kerana hanya digunakan sekejap dan menyebabkan ibu terpaksa membongkok untuk meletakkan bayi di atas katil atau ketika mengangkat anak. Tindakan ini mengakibatkan risiko berganda wanita mengalami masalah sakit belakang yang sememangnya kerap dialami ketika hamil.
Penggunaan meja untuk menukar lampin bayi dapat mengelak wanita mengalami sakit pinggang. Selain itu anda secara tidak langsung dapat memastikan kebersihan rumah lebih terjamin kerana penukaran lampin dilakukan pada satu tempat. Ini penting untuk mengelak kemungkinan bayi mendapat jangkitan dan kesucian rumah bagi umat Islam supaya tidak tercemar dengan najis (air kencing bayi).
Jangan pusingkan pinggang, terutama ketika bangun tidur pada waktu pagi. Apabila kita twist, cakera yang terletak di antara dua vertebra tulang belakang (tulang belakang membabitkan banyak komponen tulang yang dipanggil vertebra) turut ‘terpulas’ dan boleh terkoyak. Ini menyebabkan sakit belakang dan yang menyedihkan, kesakitan ini mungkin berpanjangan atau tidak hilang.
Jika anda berasa sakit belakang ketika bangun tidur, jangan terus duduk. Sebaliknya, baring dan rehatkan badan.
Perlahan-lahan bengkokkan kaki dan rapatkan ke dada. Ulang lima kali dan rehat (tiga hingga lima minit).
Jangan lentikkan badan ke belakang. Ia memberi tekanan pada tulang belakang.
Dengar apa yang cuba diberitahu oleh badan. Segera berhenti melakukan sesuatu aktiviti atau kerja jika terasa sakit. Itu tandanya badan anda mengalami tekanan berlebihan.
Elak mencangkung atau melutut terlalu lama.
Ketika berehat, buat senaman regangan perlahan-lahan dan tahan selama 20 hingga 30 saat bagi setiap pergerakan sambil menarik nafas panjang.
Jika berdiri lama, cuba alih berat badan pada satu kaki untuk beberapa ketika. Kemudian tukar ke kaki sebelah. Ini untuk mengelak tekanan berlebihan dan menyebabkan keletihan pada kedua-dua kaki.