Kemelesetan ekonomi berulang kembali??

Zaman Kemelesetan Dunia tahun 1927 dan 1929 terbayang lagi: Gambaran pasaran yang merudum, nilai mata wang yang mengecil, pembuangan kerja beramai-ramai dan sistem kewangan yang hancur. Cuma masa itu, dunia belum dihuni oleh manusia seramai sekarang, nilai kekayaan tidak sebesar mana, planet ini masih belum terbuka luas sempadannya dan globalisasi masih impian peramal masa depan.

Hari ini globalisasi dan dunia tanpa sempadan mencorakkan dunia moden. Maklumat datang sepantas cahaya. Sistem kewangan dunia berangkai sifatnya dan apapun yang berlaku di satu penjuru dunia akan terasa kesannya di tempat lain. Maka itu implikasi dari merudumnya bursa-bursa utama dunia pada awal bulan ini pasti mempunyai implikasi luar biasa pada ekonomi dunia, sistem kewangan global dan masyarakat manusia seluruhnya.

Dalam masa dua hari - pada 6 dan 7 Oktober - kerugian di pasaran saham dunia bernilai AS$6,500,000,000,000 ($6.5 trilion atau RM21.4 trillion). Di Bursa Malaysia sahaja anggaran kerugian dalam masa seminggu dijangka RM57 bilion. Pada 19 Oktober sahaja, nilai kerugian di pasaran saham kita dijangka RM25 bilion. Dalam sehari itu, kita boleh membina lima buah Menara Berkembar Petronas atau tiga buah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Begitulah buruknya keadaan pasaran saham yang sekali gus menjejaskan syarikat dan manusia yang bekerja di dalamnya.

Sudah terlalu lama pasaran saham bermaharajalela di atas prinsip kapitalisme yang mulai dipersoalkan. Malah inilah masanya orang mulai menanyakan tentang sistem kapitalisme itu sendiri, serta segala salah lakunya. Masalahnya, atas nama pasaran terbuka atau free market, pertimbangan yang dibuat selalunya bukan atas landasan kukuh atau fundamental yang sebenar. Spekulasi, andaian, khabar angin malah persepsi mencorakkan pasaran. Selalunya keutuhan syarikat, amalan kewangan yang terpuji, amalan tadbir urus yang baik dan nilai etika tidak pernah diberi perhatian.

Hero kapitalisme merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang membuat pulangan ratusan juta ringgit pada syarikat. Ada kalanya mereka menipu angka, memutar belit kenyataan dan menyalahgunakan kuasa. Tembelang mereka hanya terbongkar kemudian. Sebelum itu mereka diberikan ganjaran besar dengan bonus luar biasa dan kemudahan percuma yang terlalu banyak. Banyak syarikat yang menjadi senama dengan tokoh-tokoh ini. Memang tidak ada salahnya hal itu. Syarikat dan pemilik serta CEO memang menjadi sebahagian daripada imej malah jenama syarikat berkenaan. Ada kalanya mereka menjadi sebahagian daripada "branding" syarikat berkenaan. Mereka dewa baru kapitalisme.

Memang banyak daripada syarikat ini yang menjadi raksasa yang nilainya lebih besar dari banyak negara di dunia. Tidak menghairankan nilai syarikat raksasa multinasional (MNC) melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak negara di dunia. Mereka merupakan penakluk atau penjajah baru di dunia hari ini menggantikan penjajahan kolonial. Mereka menggaji ratusan juta manusia selain membayar cukai berbilion ringgit pada kerajaan yang menjadi tuan rumah. Bayangkan sekiranya syarikat-syarikat ini bermasalah.

Selain daripada itu manusia moden memulakan tabiat baru yang dianggap fesyen dan melambangkan status mereka - berhutang. Kemudahan pinjaman membolehkan mereka hidup melebihi kemampuan. Budaya berhutang tidak dicemuh, sebaliknya disanjung. Kemewahan dan hutang menjadi sama ertinya. Semakin banyak hutang semakin bergaya. Atau untuk bergaya, banyakkan lah berhutang. Ungkapan orang Melayu, biar papa asal bergaya, menjadi mantra baru masyarakat moden.

Di AS, setiap isi rumah secara purata mempunyai 13 kad kredit. Kad kredit menjadi lambang gaya baru dan membawakan prestij yang tersendiri. Rakyat AS banyak berhutang. Hutang bagi isi rumah di AS kini mencecah RM46.2 trilion dari hanya RM2.2 trilion pada tahun 1974. Di AS, dasar untuk membolehkan setiap orang memiliki rumah menyebabkan syarikat peminjam memberikan insentif yang begitu hebat. Ada yang menawarkan pinjaman tanpa bayaran mula atau tanpa bayaran balik selama 24 bulan. Setiap orang membeli rumah. Pinjaman perumahan tidak terkawal menjadi punca krisis kewangan di AS masa kini. Apabila peminjam gagal membayar, banyak syarikat pinjaman menghadapi masalah besar. Banyak yang jatuh bankrap.

Pada keseluruhannya AS merupakan negara berhutang. Pada tahun 1900 hutang negara pada tahap RM10 trilion dan jumlah menjadi dua kali ganda pada tahun 2000. Hari ini angka itu dipercayai mencecah RM33.6 trilion. Apa yang dilakukan oleh AS ialah mencetak lebih banyak duit atau meminjam lebih banyak lagi. Untuk memodali perang dan pengekalan kuasa sekutunya di Afghanistan dan Iraq, AS terpaksa meminjam lebih banyak lagi. Ini perang yang memakan belanja RM3.3 trilion setakat ini.

AS selama ini enggan mengenakan kadar faedah yang tinggi bagi mengekang pinjaman. Ubat pahit tidak baik untuk AS – itulah pendirian mereka. Maka itu wang dibuat di atas angin, kadangkala cagaran juga tidak dapat dipegang. "Leverage" digunakan sebagai makna lain bagi "hutang" - selalunya atas harta atau sumber yang belum tentu boleh dipegang atau punya nilai. Kita semua tahu ekonomi AS berkembang dengan "mengalih-alihkan" sumber sedia ada.

Hukum alam yang mengatakan berhutang mengikut kemampuan tidak diguna pakai lagi dalam kehidupan moden hari ini. Malaysia tidak terkecuali. Penggunaan kad kredit misalnya sudah sampai pada tahap yang membimbangkan. Begitu juga tabiat meminjam yang melampau menjadi budaya yang satu hari nanti akan menjerat leher peminjamnya. Sehingga krisis terjadi, pelanduk selalu melupakan jerat.

Moral ceritanya dunia harus mengubah cara. Satu rejim kewangan baru harus disediakan bagi menangani isu ini. Disiplin fiskal yang baru diperlukan. Begitu juga sikap baru Rizab Persekutuan AS, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia bagi mengelakkan hal ini dari berulang. Pada waktu yang sama negara-negara G7 harus bersedia membuat perubahan besar sikap dan cara. Minggu lalu wakil dari 180 buah negara berkumpul di Washington DC. bagi menghadiri mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia. Mereka harus sedar bahawa kali ini punca gempa bumi krisis ekonomi 2008 ialah di AS. Oleh kerana AS merupakan ekonomi yang terbesar di dunia dan menjadi pengguna terbesar banyak bahan mentah dari seluruh dunia, maka kesannya pada ekonomi global akan begitu dirasakan. AS juga membeli dari banyak negara membangun, banyak negara ini akan juga menghadapi masalah.

Lebih penting lagi ialah perlunya amalan baru dalam pengurusan kewangan di AS. AS menjanjikan pelan bantuan melebihi RM2.3 bilion untuk membantu syarikat-syarikat bermasalah. Sekiranya duit satu dolar AS disusun, jumlah sebanyak itu akan menjadi setinggi 80 kilometer. Kerajaan United Kingdom (UK) juga menjanjikan RM3 bilion bagi menambah modal lapan buah banknya yang bermasalah. Ibu negara UK, London, kini menguasai 36 peratus pasaran pertukaran mata wang dunia dan lebih separuh perniagaan dalam ekuiti asing. Hari ini juga London menjadi tuan rumah pada 254 bank asing. Tidak hairanlah kerajaan UK perlu melindungi banknya sendiri.

Memanglah awan tebal sedang menyelubungi ekonomi dunia. Tetapi itu tidak bermakna kita membayangkan kehancuran ekonomi atau bencana kemelesetan tahun 1907 dan 1929 berulang. Tindakan pantas dan drastik yang diambil setakat ini akan mengembalikan kestabilan pasaran. Masa depan berbilion manusia bergantung pada keberanian pembuat dasar agar bencana ini tidak menjadi lebih buruk atau berulang.

INFO



Dalam masa dua hari - pada 6 dan 7 Oktober - kerugian di pasaran saham dunia bernilai AS$6,500,000,000,000 ($6.5 trilion atau RM21.4 trillion).


Kerugian di Bursa Malaysia pada 19 Oktober sahaja membolehkan kita membina lima buah Menara Berkembar Petronas atau tiga buah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).


Hero kapitalisme merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang membuat pulangan ratusan juta ringgit pada syarikat. Ada kalanya mereka menipu angka, memutar belit kenyataan dan menyalahgunakan kuasa.


Hukum alam yang mengatakan berhutang mengikut kemampuan tidak diguna pakai lagi dalam kehidupan moden hari ini.


Di AS, setiap isi rumah secara purata mempunyai 13 kad kredit. Kad kredit menjadi lambang gaya baru dan membawakan prestij yang tersendiri.


Hari ini juga London menjadi tuan rumah pada 254 bank asing. Tidak hairanlah kerajaan UK perlu melindungi banknya sendiri.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url