Lelaki perlu hormati wanita

Lelaki perlu digalakkan untuk lebih menghormati wanita kaum Hawa dalam usaha memerangi penyebaran virus HIV dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids).

Wanita juga perlu lebih terbabit dalam usaha itu bagi menyekat penyakit yang tersebar menerusi hubungan seks, kata pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Wakil khas PBB bagi HIV/Aids di rantau Asia Pasifik, Nafis Sadik, memberitahu persidangan mengurangkan kemiskinan di Beijing bahawa kurang rasa hormat kepada wanita membantu penyebaran virus berkenaan.

"Keganasan berasaskan jantina dan diskriminasi jantina meningkatkan wabak HIV dan Aids di kalangan wanita. Keperkasaan wanita – melengkapkan mereka dengan keyakinan diri, pengetahuan, kemampuan melindungi diri sendiri – amat penting untuk menang dalam perjuangan ini.

"Wanita menderita dua kali ganda. Pertama, akibat HIV dan Aids sendiri, dan kedua disebabkan 'stigma' dikaitkan dengan penyakit itu. Wanita selalu dipersalahkan kerana menjangkiti suami mereka, walaupun sebenarnya lelaki yang kerap menjangkitkan isteri masing-masing dengan virus itu," katanya.

Di Asia, sekurang-kurangnya 75 juta lelaki secara kerap melanggan kira-kira 10 juta pelacur, katanya.

"Hasil tindak tanduk lelaki ini boleh dilihat dalam perubahan corak jangkitan. Hari ini, kira-kira satu pertiga daripada penduduk yang menghidap HIV di China adalah wanita, berbanding seorang dalam 10 pada 1995," kata Sadik.

Virus itu menjangkiti 33 juta penduduk di seluruh dunia, sebahagiannya wanita, dan membunuh dua juta orang setiap tahun.

Ogos lalu, pegawai PBB memberitahu persidangan Aids di Mexico bahawa kenaikan harga makanan di seluruh dunia kemungkinan mendorong wanita miskin menjadi pelacur untuk memperoleh barangan asas seperti ikan dan minyak masak, meningkatkan risiko jangkitan baru Aids.

Sadik berkata, beliau berharap ahli politik lelaki yang menguasai China akan lebih terbabit dalam menyebarkan mesej seks selamat. Kira-kira 700,000 penduduk di negara itu menghidap HIV/Aids dan faktor utama penyebarannya adalah menerusi seks.

"China perlu mendapatkan sokongan kepemimpinan yang dikuasai lelaki dan penduduk lelaki secara umum, menggalakkan mereka mengamalkan seks yang bertanggungjawab dan memastikan mereka menghormati pasangan masing-masing, dan semua wanita sama rata," katanya.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url