Maybank2u berwajah baru

Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan nilai transaksi di laman web Maybank2u.com akan meningkat antara 25 peratus hingga 30 peratus dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009, susulan penampilan lebih menarik pengenalan wajah baru portal perbankan itu.

Dalam tahun kewangan lalu, nilai transaksi di portal perbankan internet Maybank itu bernilai kira-kira RM30 bilion, meningkat 67 peratus daripada tahun sebelumnya.

Laman web itu dimanfaatkan 3.2 juta pengguna bagi menjalankan pelbagai urusan perbankan secara dalam talian termasuk kemudahan pembayaran membabitkan kira-kira 600 organisasi.

Maybank memperuntukkan antara RM3 juta hingga RM5 juta bagi meningkatkan sistem baru Maybank2u.-com, portal perbankan internet pertama di Malaysia yang dilancarkan pada 2000.

Naib Presiden Kanan Eksekutif dan Ketua Perbankan Pengguna Maybank, Lim Hong Tat, berkata perubahan ke atas portal perbankan itu bertujuan memenuhi kehendak pengguna selain bagi memastikan laman web itu dapat memenuhi keperluan aplikasi sistem terbaru kom-puter yang lebih canggih.

"Urusan perbankan di laman web itu dipermudahkan dan pada masa sama ia mengekalkan ciri keselamatan tahap tertinggi," katanya selepas melancarkan wajah baru Maybank2u.com di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden dan Ketua Perbankan Virtual Maybank, Ahmad Shareza Abdul Rahman.

Lim menambah, pembaharuan yang dilakukan ke atas laman web itu juga bertujuan menampung peningkatan penggunaannya membabitkan purata 34.7 juta transaksi sebulan yang bernilai RM2.6 bilion.

"Pertumbuhan nilai transaksi tahunan saja adalah sebanyak RM6.1 bilion yang dicatatkan dalam tahun kewangan lalu, meningkat 28 peratus daripada tahun sebelumnya," katanya.

Maybank2u.com, kata beliau, menerima purata pendaftaran 90,000 pelanggan baru setiap bulan dan laman web itu menerima 200,000 kunjungan sehari, terutama daripada pengguna di Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Mengenai pengembangan serantau bagi perkhidmatan perbankan internet Maybank itu, Lim berkata, versi portal perbankan yang dipertingkatkan itu akan diperkenalkan kepada pelanggannya di Singapura beberapa bulan lagi.

"Perkhidmatan di Filipina pula akan diperkenalkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url