Rizab kukuh kurangkan risiko Malaysia, China
Ahli Ekonomi Citigroup Global Market Inc, Yiping Huang, berkata masalah yang mengancam negara Asia kini adalah berkait dengan aliran modal iaitu risiko aliran modal yang terhenti secara mengejut dan aliran keluar modal daripada pasaran kewangan.
"Berdasarkan dua faktor itu, kami dapati Malaysia dan China terdedah kepada risiko yang paling kecil. Sementara Korea, Indonesia dan Filipina pula terpaksa berdepan risiko paling besar dari segi aliran kewangan.
"Risiko aliran modal luar adalah penting dalam kestabilan ekonomi. Sebarang kesan tambahan daripada krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) dan tekanan ke atas kecairan global, akan memberi kesan ketara ke atas ekonomi seperti Korea, Indonesia, Filipina dan India," katanya dalam satu laporan penyelidikan pasaran kewangan Asia, baru-baru ini.
Yiping berkata, peningkatan risiko aliran modal juga, dalam jangka pendek akan menambahkan tekanan ke atas mata wang won Korea, rupiah Indonesia, peso Filipina dan rupee India.
Kesan krisis kewangan AS, katanya, akan memberi tekanan ke atas kecairan sistem kewangan di rantau ini.
"Jangkaan berlaku tekanan kecairan menyebabkan beberapa bank pusat utama Asia termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Korea dan India, bertindak sama ada melonggarkan kawalan kecairan atau menyuntik kecairan ke dalam sistem kewangan.
"Bagaimanapun, langkah itu tidak akan menghindar ekonomi negara Asia daripada risiko aliran modal," katanya.
Dalam kajiannya, Yiping menjelaskan, risiko pengaliran yang terhenti secara tiba-tiba akan menjejaskan negara yang terlalu bergantung kepada aliran masuk modal asing, hutang luar yang tinggi dan defisit akaun semasa.
Berdasarkan kajian itu, katanya, Korea dan Vietnam berdepan risiko paling tinggi berbanding negara Asia lain.
"Korea berdepan masalah hutang luar, manakala Vietnam pula mengalami masalah berkaitan defisit akaun semasa. Kedua-dua ekonomi itu sudah mengalami tamparan hebat (dari segi penurunan pasaran) sejak beberapa bulan lalu.
"Sementara itu, India, Indonesia dan Filipina juga kelihatan mudah terdedah, manakala Malaysia, China dan Singapura kelihatan paling kukuh untuk berdepan pemberhentian mengejut aliran modal. Malah, Malaysia, Taiwan, Singapura, Hong Kong dan China adalah negara pembiaya," katanya.
Mengenai aliran keluar modal secara mengejut pula, Yiping berkata, ia berkait dengan aliran modal mudah alih luaran seperti hutang jangka pendek mata wang asing, pegangan asing dalam saham dan bon mata wang tempatan.
"Berdasarkan kajian, Indonesia dan Korea muncul sebagai ekonomi yang paling mudah terdedah dalam kes aliran keluar modal secara mengejut.
"Di Korea, risiko utama adalah berkait dengan pinjaman jangka pendek, manakala di Indonesia pula, ia lebih tertumpu kepada pegangan asing dalam saham di negara itu.
"Ia diikuti oleh Filipina, Taiwan dan Malaysia dan dari sudut itu, ekonomi yang paling selamat adalah China dan Vietnam," katanya.
Rangkuman daripada dua kajian itu, Yiping membuat kesimpulan bahawa Malaysia dan China adalah dua ekonomi rantau ini yang paling selamat daripada tempias krisis kewangan global.