Rumah Panjang Warisan Melanau
Rumah panjang sering dikaitkan dengan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak.
Bagaimanapun, rumah panjang Melanau yang masih wujud sehingga ke hari ini di Kampung Sok, Matu, membuktikan ia bukan hanya dimiliki tiga kumpulan etnik Dayak.
Di Kampung Budaya Sarawak, Kuching, identiti kaum Melanau cuma ditonjolkan menerusi pembinaan rumah tinggi dengan tiang sebesar satu pemeluk.
Tetapi rumah panjang Melanau di Kampung Sok membuktikan kaum itu telah memiliki rumah panjang yang dibina pada tahun 1872.
Bermula dengan empat pintu atau empat bilik, rumah itu diperbesarkan kepada 26 pintu pada tahun 1888.
Pada asalnya, struktur asas rumah panjang itu diperbuat daripada kayu belian dan atapnya pula menggunakan daun pokok sagu.
Kewujudan rumah panjang Melanau yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Mukah membuktikan proses asimilasi budaya yang kuat antara kaum-kaum pribumi di Sarawak sejak zaman berzaman.
Boleh dikatakan rumah panjang Melanau dibina dengan meniru gaya kehidupan masyarakat Iban yang boleh didapati di semua bahagian di Sarawak.
Rumah panjang Melanau Islam di Kampung Sok masih dihuni oleh sembilan keluarga, meskipun keadaannya semakin uzur.
Disebabkan keunikannya, rumah panjang itu disenaraikan sebagai antara 11 produk pelancongan dalam bahagian Mukah.
Malahan pada tahun 1987, Jabatan Muzium Sarawak mengisytiharkan rumah berkenaan sebagai salah satu warisan yang perlu dikekalkan agar generasi baru mengetahui serba sedikit tentang sejarah tempatan.
Sekali gus rumah panjang itu diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerja-kerja ubah suai perlu mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Muzium Sarawak.
Disebabkan keunikannya, rumah panjang itu dikunjungi tidak kurang 2,000 pelawat setiap tahun seperti tercatat dalam buku pelawat yang disediakan.